1.8 Juta Jemaah Haji Mula Bergerak Ke Arafah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MAKKAH – Lebih 1.8 juta jemaah haji dari seluruh dunia akan memulakan pergerakan ke Padang Arafah pada Rabu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, pergerakan jemaah haji Malaysia bermula pada jam 6.30 pagi mengikut jadual yang ditetapkan oleh pihak Al Masiah (Masyarik) dan Tabung Haji (TH).

Menurutnya, jemaah akan bergerak secara berperingkat mengikut maktab masing-masing bagi memastikan perjalanan yang teratur dan selesa.

Beliau berkata, pergerakan jemaah terbahagi kepada tiga pusingan yang melibatkan 20 hingga 31 bas bagi setiap maktab mengikut kumpulan KT dan bergantung kepada jumlah jemaah haji di setiap maktab.

“Pergerakan adalah secara Taraduddiah atau sistem bas ulang-alik (shuttle) dengan jarak perjalanan sejauh 20 kilometer dari Makkah ke Arafah, yang mengambil masa antara 45 hingga 60 minit.

“Pihak Tabung Haji dan Al Masiah (Masyarik) menjangkakan keseluruhan operasi membawa jemaah ke Arafah akan mengambil masa antara enam hingga lapan jam,” katanya ketika pelepasan jemaah haji Malaysia ke Arafah di Abraj Al Tayseer, di sini.

Mohd Na’im berkata, kerajaan dan Tabung Haji sentiasa prihatin terhadap kebajikan, keselamatan dan keselesaan semua jemaah haji negara.

Menurut beliau, seramai 80 jemaah haji yang sakit dan uzur akan dibawa menunaikan ibadah wukuf di Padang Arafah menerusi program Safari Wukuf bermula Khamis.

“Sebanyak lapan buah bas khas telah diubah suai tempat duduknya menjadi seperti katil untuk membawa jemaah haji ke Padang Arafah,” katanya.

Tambahnya, seramai 195 petugas kebajikan dan perubatan telah digerakkan ke Arafah pada Selasa bagi membuat persediaan terakhir menyambut ketibaan jemaah haji di bumi Arafah.

Bottom of Form

Seramai 385 Sahabat Maktab (sukarelawan) dalam kalangan jemaah haji daripada 11 maktab turut akan membantu melancarkan operasi Masyair pada tahun ini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas haji yang menjadi tulang belakang kepada operasi berkenaan.

“Semua petugas telah bertugas tanpa mengira masa bagi memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara.

“Semoga ALLAH SWT mempermudahkan segala urusan operasi Masyair kali ini agar berjalan lancar tanpa sebarang insiden besar,” katanya.

Sumber : SINAR HARIAN