12 Mayat Ditemukan Di Guatemala

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUATEMALA, 22 Disember – Sekurang-kurangnya 12 mayat ditemukan dalam tempoh tiga hari di kawasan hutan di pinggir Guatemala City, kata pihak berkuasa pada Ahad, dengan penemuan itu dikaitkan dengan jenayah keganasan.

Jurucakap bomba, Hans Lemus berkata dua mayat ditemukan pada Jumaat, diikuti tiga mayat serta satu rangka manusia pada Sabtu di kawasan yang sering digunakan penjenayah untuk membuang mayat.

“Pihak berkuasa dengan bantuan anjing pengesan menemukan enam lagi sisa manusia, termasuk mayat yang dibalut dengan cadar dan beg plastik,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Guatemala dalam satu kenyataan memaklumkan pembunuhan itu berkemungkinan berpunca daripada perebutan kawasan antara kumpulan jenayah terancang.

Guatemala terus berdepan masalah jenayah keganasan yang didominasi kumpulan Barrio 18 dan Mara Salvatrucha (MS-13), yang diklasifikasikan sebagai pertubuhan pengganas oleh Guatemala dan Amerika Syarikat.

Pada Oktober lalu, sembilan mayat turut ditemukan di bawah sebuah jambatan di Palencia, berhampiran ibu negara.

Menurut pihak berkuasa, hampir separuh kes keganasan di negara itu dilakukan oleh pengedar dadah dan ahli kumpulan jenayah yang terlibat dalam kegiatan pemerasan.

Guatemala merekodkan kadar pembunuhan 16.1 bagi setiap 100,000 penduduk tahun lalu, lebih dua kali ganda purata global. –AFP

Sumber : BERITA RTM