130 guru di NS masih belum divaksin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Seremban: Tindakan lanjut terhadap guru yang belum bersedia untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Md Fiah Md Jamin berkata, sehingga kini, masih terdapat lebih 130 guru di Negeri Sembilan yang belum bersedia untuk divaksinasi, bagaimanapun jumlah itu berkurangan berbanding 142 guru sebelum ini.

“Saya percaya mereka ini bukannya antivaksin, tetapi ada alasan tersendiri antaranya ada masalah kesihatan. Mereka adalah pendidik dan orang baik-baik, doakan mereka supaya terbuka hati.

“Harapan kita positif supaya mereka ini mengubah fikiran untuk terima vaksin kerana dalam rekod jabatan mereka adalah guru yang baik dan produktif,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, usaha memujuk guru berkenaan masih dilakukan dan pihaknya belum mengambil sebarang tindakan yang lebih tegas.

Bagaimanapun beliau berkata, Kementerian Pendidik Malaysia (KPM) sedang dalam proses terakhir membuat keputusan tindakan yang bakal diambil terhadap guru yang belum bersedia membuat vaksinasi dan ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Buat masa ini tindakan yang kita bakal ambil adalah mengikut SOP (prosedur standard operasi) 3.0 antaranya ditempatkan di lokasi khusus supaya boleh bekerja secara khusus.

“Kami masih mengikut garis panduan itu sehingga garis panduan baharu yang akan dikeluarkan,” katanya.

Harian Metro pada 21 September lalu melaporkan JPNS mengenal pasti 142 guru di negeri ini yang belum bersedia untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Md Fiah dilaporkan berkata, jumlah itu hanya membabitkan 1.08 peratus guru berbanding jumlah keseluruhan pendidik berkhidmat di negeri ini.

Sumber: My Metro