15 laluan di Mukim Bukit Besar, Serada ditutup

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Polis menutup 15 laluan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Bukit Besar dan Serada, di sini, berkuat kuasa kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, sebanyak empat laluan ditutup membabitkan Mukim Bukit Besar dan 11 laluan di Mukim Serada.

Menurutnya, laluan yang ditutup di Mukim Bukit Besar ialah di Jalan Budiman/Lorong Kenanga, Jalan Haji Abdul Rahman Limbong/Lorong Kenanga dan di bawah jejambat Kampung Tok Molor serta Jambatan Kampung Laut.

Katanya, penutupan laluan di Mukim Serada membabitkan jalan tepi sungai belakang Masjid Al-Mustaqqim, Jalan Binjai Berambu, Lorong Kubang Bujuk, Kampung Tiruk, Jambatan di Tok Hakim, Kampung Cerana, Jambatan Banggol Kapas, Surau Seri Pahlawan, Banggol Pak Ali dan Padang Pak Kabar.

“Sebanyak lima sekatan jalan raya (SJR) diadakan iaitu di Jalan Panji Alam di Simpang Pengadang Akar, laluan keluar masuk di Jalan Pasir Panjang di Gong Kapas dan di Jalan Serada.

“Balai polis bergerak juga ditempatkan di hadapan Masjid Sultan Muhammad, Bukit Besar dan di Dewan Sivik Serada bagi memudahkan penduduk mendapatkan maklumat dan bantuan kecemasan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, pihaknya akan mempergiatkan rondaan serta pemantauan secara berkala di dua lokasi PKPD dan penduduk diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, orang ramai diingatkan tidak mengalih, mengubah, melanggar dan merosakkan penghadang jalan yang dipasang di kawasan PKPD.

“Mereka yang melakukan perbuatan itu boleh didakwa dan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Sumber: My Metro