1,775 Tapak Pasar Ramadan, Bazar Aidilfitri Di Kuantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menyediakan sebanyak 1,775 gerai jualan pasar Ramadan dan bazar Aidilfitri di daerah ini, sepanjang bulan Ramadan bermula minggu depan.

Ia membabitkan tujuh tapak bazar Aidilfitri yang disertai, 360 peniaga dan 33 pasar Ramadan (1,415 peniaga) yang dianjurkan oleh 27 pihak selepas mendapat kelulusan daripada MBK.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporatnya, Norkamawati Kamal, berkata permintaan terhadap gerai jualan di pasar Ramadan dan bazar Aidilfitri kali ini begitu menggalakkan berbanding sebelum ini.

Katanya, pasar Ramadan Taman Kerang (Mahkota Square), Kota Sas, TMG Tanjung Lumpur, Taman Tas dan Jaya Gading antara yang setiap tahun mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Bazar Aidilfitri di perkarangan Stadium Darulmakmur, Serambi Teruntum dan dataran masjid negeri Sultan Ahmad Satu yang menawarkan pelbagai kelengkapan hari raya hampir setiap tahun turut mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna daerah ini termasuk dari luar.

“Bagi memastikan peniaga terutama di pasar Ramadan sentiasa mematuhi aspek kebersihan dan peralatan yang digunakan, kita akan menjalankan pemantauan secara berterusan,” katanya, dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga akan membuat pemeriksaan sekiranya terdapat pemilik yang bertindak menyewakan permit atau gerai jualan mereka kepada pihak ketiga.

Norkamawati berkata, bagi memastikan aktiviti jualan berjalan dengan baik dan selesa kepada pengunjung, semua peniaga dinasihatkan mengenakan pakaian sopan dan bertudung kepala serta wajib meletakkan tanda harga pada setiap barangan dijual.

“Harga ditawarkan kepada pelanggan juga perlu berpatutan dan tidak terlalu mahal sehingga membebankan pengguna dan kita akan meminta kerjasama pegawai serta kakitangan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi tujuan pemantauan dan pemeriksaan.

“Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan juga akan melakukan pemeriksaan sekiranya terdapat aduan yang berkaitan berlakunya keracunan makanan berlaku pada pengguna,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN