200 Pengusaha Akuakultur Dijangka Tambah Hasil Melalui Projek Rumpai Laut

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR PUTEH – Seramai 200 pengusaha kolam udang dan ikan di pesisir pantai Semerak di sini dijangka dapat meningkatkan pendapatan melalui Program Pemindahan Teknologi Pengkulturan ‘sare’ atau rumpai laut yang dijalankan oleh pihak Universiti Malaya (UM).

Pegawai Penyelidik UM Dr Adibi Rahiman Md Nor berkata pemilihan Semerak sebagai pusat pengkulturan rumpai laut adalah disebabkan lokasi tersebut merupakan ‘bakul makanan’ industri akuakultur.

Beliau berkata rumpai laut akan menjadi ‘ejen penapis’ kepada industri akuakultur dengan membantu memulihkan kualiti air dan pada masa sama menambahkan hasil kepada pengusaha akuakultur di kawasan tersebut.

“Inovasi yang diperkenalkan oleh UM ini akan membantu pengeluaran dari segi akuakultur dan dapat menjamin industri yang lebih mampan sekali gus menjamin pendapatan pengusaha ternakan udang dan ikan di Semerak.

“Rumpai laut yang diperkenalkan di sini adalah daripada jenis gracilaria yang mengandungi serat pemakanan yang tinggi yang sangat diperlukan untuk fungsi sistem penghadaman manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi penerangan mengenai rumpai laut itu kepada bakal pengusahanya, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Program Jabatan Pengurusan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM Prof Dr Noor Ismawati Jaafar.

Adibi Rahiman berkata rumpai laut yang diperkenalkan ini adalah yang berkualiti tinggi dari segi aspek keselamatan makanan kerana telah dianalisis agar kandungan logam berat tidak tinggi.

“Rumpai laut boleh matang dalam tempoh 30 hingga 45 hari sebelum boleh dituai.

“Rumpai laut yang berkualiti boleh dijual dengan harga RM70 sekilogram,” katanya yang yakin setiap kolam yang diusahakan mampu memberi hasil sehingga 500 kilogram kepada pengusaha.

Sumber: BERNAMA