SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

2,000 udang galah percuma hari pertama Ramadan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jertih: Sebanyak 2,000 ekor udang galah diagihkan secara percuma kepada orang ramai terutamanya golongan asnaf sempena hari pertama Ramadan hari ini.

Pengurus Besar Pertubuhan Muslim Sejahtera Malaysia (Muszleem) Nor Hanis Abd Basir berkata, pengagihan udang kepada 200 keluarga menggunakan sistem kupon itu dapat menceriakan hari pertama puasa mereka.

“Tidak semua orang mampu menikmati lauk udang galah terutamanya bagi keluarga yang mempunyai ramai anak kerana ia mahal berbanding ikan atau ayam.

“Pengagihan udang galah ini menggunakan kutipan dana sumbangan orang ramai yang mula dikumpul melalui program Jom Kongsi Udang Satu Ramadan sejak sebulan lalu melalui pelbagai saluran termasuk media sosial,” katanya ketika ditemui di pejabat Muszleem di Kampung Padang Landak di sini, hari ini.

Nor Hanis berkata, Muszleem yang juga pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) aktif menjalankan kerja kebajikan membabitkan pembinaan projek perigi wakaf di beberapa negara Islam seperti Kemboja.

“Selain agihan udang galah percuma, kami juga turut menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma yang siap dibungkus untuk 100 orang penerima bermula dari hari ini sehingga 30 Ramadan.

“Ia akan diagihkan bermula 5.30 petang setiap hari di depan pejabat ini.

“Usaha ini diharap dapat meringankan sedikit beban ahli keluarga yang masih terkesan dengan penularan pandemik Covid-19 hingga menjejaskan punca pendapatan keluarga,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima udang galah percuma, Arif Fazilah Meli, 41, berkata, dia bersyukur kerana ia dapat dijadikan juadah utama untuk berbuka puasa petang nanti.

“Saya bekerja sendiri mempunyai enam orang anak, manakala isteri pula tidak bekerja dan tentunya memang terpaksa berjimat cermat untuk berbelanja barangan dapur.

“Bila ada pihak yang sudi mengagihkan sumbangan seperti ini, sekurang-kurangnya kami dapat merasa lauk yang istimewa berbanding hari biasa,” katanya.

Menurutnya, dia bersama anaknya Mohd Nabil Wadi, 3, datang berdua menaiki motosikal untuk mengambil sumbangan udang galah itu.

“Kebetulan hari ini genap seminggu Nabil mengalami patah tangan kerana terjatuh di rumah namun tetap bersemangat mengikut saya ke sini,” katanya.

Sumber: My Metro