SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

212 Pengusaha Kantin Dan Pekerja Dewan Makan Terima Sumbangan BPP

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LIPIS : Seramai 212 pengusaha kantin dan pekerja dewan makan seluruh Daerah Lipis menerima sumbangan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) daripada Kerajaan Pahang.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Benta, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata, bantuan kali ini diteruskan bagi membantu pengusaha kantin dan pekerja dewan makan asrama di seluruh daerah.
 
“Pengagihan BPP ini diberikan secara bersasar kepada semua penerima secara menyeluruh supaya semua mereka yang layak dapat menikmati BPP yang diagihkan khusus kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19 ini,” katanya.
 
Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long juga berpendapat, golongan pengusaha kantin dan pekerja dewan makan ini antara yang terjejas teruk apabila sekolah diarah tutup sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 2020.
 
“Golongan pengusaha kantin dan pekerja dewan makan ini merupakan antara yang terjejas teruk kerana pendapatan mereka terjejas apabila sekolah ditutup.

“Malah, kebanyakan mereka sememangnya bergantung pendapatan kepada perusahaan kantin dan dewan makan yang mengakibatkan kesukaran kepada mereka untuk meneruskan kehidupan pada PKP,” katanya.
 
Justeru katanya, bantuan ini diharap dapat menunjukkan rasa empati dan prihatin kerajaan terhadap mereka terutama ketika kesusahan melanda mereka ketika ini.
 
Hadir sama ialah Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong.
 
Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Fasa 2 Golongan Sasar Pengusaha Kantin Sekolah, Dewan Makan Asrama dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) Sekolah-sekolah Parlimen Lipis telah diadakan di Kompleks UMNO Bahagian Lipis.

Sumber: PAHANGMEDIA