22 Lokasi Di Terengganu Berisiko Dilanda Kepala Air

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu mengenal pasti 22 lokasi perkelahan dan rekreasi di lima daerah di negeri ini berisiko dilanda kepala air.

Pengarah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Zul Khairi Shamsuddin, berkata kawasan berisiko berlakunya kepala air membabitkan daerah Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.

Katanya, Dungun, Setiu dan Kemaman adalah tiga daerah dikenal pasti berlaku kekerapan kepala air sehingga menyebabkan kematian.

“Walaupun kita tidak menempatkan pegawai dan anggota untuk bertugas di kawasan berisiko kepala air, tetapi kekerapan rondaan akan dilakukan terutama ketika musim cuti am dan persekolahan.

“Pegawai dan anggota APM di seluruh negeri sudah diminta untuk bersiap siaga dan segera ke lokasi bagi melakukan kerja penyelamatan mangsa yang terperangkap jika berlaku fenomena kepala air,” katanya.

Difahamkan, hanya satu kes kematian dilaporkan berlaku disebabkan fenomena kepala air iaitu membabitkan seorang lelaki berusia 22 tahun pada 16 Mei lalu.

Lelaki berasal daripada Pasir Gudang, Johor itu meninggal dunia di lokasi kejadian selepas lemas dihanyutkan kepala air ketika berkelah di Lata Payung, Sungai Tong, Setiu.

Tahun lalu, jumlah kematian disebabkan insiden kepala air dan lemas di seluruh negeri adalah sebanyak 25 kes.

Difahamkan, semua mangsa lemas membabitkan lokasi di sungai, pantai dan kawasan perkelahan serta rekreasi air terjun.

Mohd Zul Khairi berkata, walaupun tidak menempatkan pegawai dan anggota bertugas di kawasan berisiko kepala air, tetapi tindakan segera akan dilakukan jika berlaku kecemasan.

Mohd Zul Khairi turut mengingatkan empat petanda awal fenomena kepala air yang boleh diberikan perhatian seperti deruan air kuat, perubahan air daripada jernih kepada keruh, air menjadi berbuih serta membawa sampah dan peningkatan paras air secara mendadak.

“Jika pengunjung dapat mengenal pasti satu daripada petanda awal itu, mereka akan sempat menyelamatkan diri sekiranya fenomena kepala air berlaku,” katanya.

Mengulas lokasi berisiko di pantai, Mohd Zul Khairi berkata, APM ada menempatkan pegawai dan anggota terutama di pantai berisiko.

Katanya, pegawai dan anggota akan melakukan rondaan serta melakukan pemantauan melalui menara di beberapa pantai berisiko di negeri ini.

Sumber : BERITA HARIAN