SEGMEN TERKINI

MANIS XPRES

3pm - 7pm

23,938 mangsa banjir di Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Seramai 23,938 mangsa banjir daripada 6,456 keluarga masih berada 241 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah di Pahang, setakat 9 pagi hari ini.

Jumlah berkenaan menunjukkan penurunan berbanding petang semalam, yang merekodkan 24,647 mangsa banjir daripada 6,650 keluarga.

Berdasarkan rekod, Temerloh mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 11,177 mangsa daripada 3,030 keluarga, diikuti Maran 3,156 mangsa (848 keluarga); Lipis 2,028 mangsa (518 keluarga) dan Pekan 2,663 mangsa (754 keluarga).

Raub pula merekodkan 1,466 mangsa daripada 398 keluarga; Jerantut 1,098 mangsa (297 keluarga); Bera 1,586 mangsa (440 keluarga); Kuantan 701 mangsa (153 keluarga) dan Rompin 18 mangsa (63 keluarga).

Laporan infobanjir.water.gov.my turut memaklumkan empat sungai masih melepasi paras bahaya.

Sungai berkenaan ialah Sungai Jelai, Jeram Bungor, Lipis; Sungai Pahang (Lubuk Pasu), Temerloh dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dan Sungai Pahang di Serambi (Paloh Hinai), Pekan.

Sungai Triang, Bera pula melepasi paras amaran manakala Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan berada paras berjaga-jaga.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan notis cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berterusan di negeri ini iaitu Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin hingga esok.

Sumber: My Metro

Terkini | Popular