30 tetamu hadir majlis perkahwinan secara talian

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Lebih 30 ahli keluarga disatukan secara atas talian bagi menyaksikan majlis perkahwinan Muhammad Fikri Abdullah, 33, dan Nik Nur Munirah Nik Muhamed, 27, yang berlangsung di Kampung Pulau Pisang, Kuala Besar, di sini, semalam.

Majlis perkahwinan dengan norma baharu itu diadakan secara ringkas dengan majlis akad nikah yang hanya dihadiri oleh 20 ahli keluarga kedua-dua belah pihak bertempat di Masjid Tok Guru Haji Ali, Mukim Pulau Pisang, di sini.

Bukan saja pasangan pengantin, malah ahli keluarga yang hadir mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan seperti memeriksa suhu badan, mengenakan pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal.

Nik Nur Munirah berkata, dia berasa lega kerana majlis berjalan lancar walaupun sesetengah ahli keluarga yang jauh dan berada luar Kelantan hanya menyaksikan detik bahagianya bersama suami melalui telefon susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Idea ‘menjemput’ ahli keluarga untuk turut serta melalui aplikasi atas talian ini adalah daripada bapa saudara, Wan Mohd Fakrurrazi Wan Ahmad, 35, agar semua tidak terlepas peluang menyaksikan acara sepanjang majlis selain mengurangkan rasa sedih saya kerana mereka tidak ada bersama.

“Setiap ahli keluarga yang rata-ratanya berada di Kuala Lumpur, diberitahu awal sebelum dijemput menyertai video secara langsung supaya boleh bersedia dan memastikan capaian Internet mereka dalam keadaan baik.

“Pelbagai reaksi dan gelagat boleh dilihat sepanjang video ini, tidak kurang juga yang mengucapkan tahniah dan menitipkan doa atas ‘masjid’ yang baru dibina bersama suami,” katanya ketika ditemui selepas majlis Akad Nikah di Masjid Tok Guru Haji Ali, Mukim Pulau Pisang, di sini.

AHLI keluarga menyaksikan majlis perkahwinan pasangan Muhammad Fikri dan Nik Nur Munirah secara atas talian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHLI keluarga menyaksikan majlis perkahwinan pasangan Muhammad Fikri dan Nik Nur Munirah secara atas talian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Nik Nur Munirah yang juga kerani di sebuah syarikat di Kota Bharu berkata, dia reda terpaksa melangsungkan perkahwinan dengan cara serba sederhana dan melupakan perancangan asal menjemput hampir 1,000 tetamu susulan pendemik Covid-19.

“Apa yang penting sekarang ini, semua yang wajib sudah selesai dan kami sah menjadi suami isteri. Pengalaman berkahwin dalam tempoh PKPB pasti diingati buat selama-lamanya.

“Sebelum ini, kami juga melangsungkan majlis pertunangan dengan norma baharu iaitu pada September tahun lalu. Saya ingatkan bila tiba majlis kahwin, semuanya boleh kembali normal, namun apakan daya wabak Covid-19 semakin menjadi-jadi.

“Bagaimana pun, saya bersyukur semuanya berjalan lancar dan berharap agar rumah tangga yang dibina ini kekal bahagia buat selamanya,” katanya.

SUMBER: MyMetro