Tchetche Azam Tebus Kehampaan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Kenangan pahit ketika ditunjukkan jalan keluar selepas pasukannya, Terengganu FC (TFC) tumpas dengan agregat 5-2 kepada Pahang pada aksi suku akhir Piala FA 2019 masih diingati penyerang, Kipre Tchetche sebelum dia berkelana ke Kedah pada 2020 dan 2021.

Musim ini, penyerang kelahiran Ivory Coast kembali menyarung jersi TFC, kehadirannya sudah pasti untuk menebus kehampaan itu apabila menentang Selangor FC pada aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Sabtu ini.

Pemain yang digelar ‘Drogba Ganu’ itu bertekad untuk memberikan yang terbaik lebih-lebih lagi bermain di tempat sendiri dalam misi membantu skuad Penyu mara ke pentas akhir.

Bagaimanapun penyerang berusia 35 tahun itu sedar tugasan itu bukan mudah untuk direalisasikan dengan reputasi skuad The Red Giants sebuah pasukan yang besar dalam Liga Malaysia (Liga M).

“Kami ada rekod baik bermain di tempat sendiri. Kami masih boleh mengekalkan rekod tanpa kalah di sini, jadi ini antara sebab yang mampu memotivasikan kami ketika bermain walaupun sedar pasukan lawan bukan mudah untuk ditundukkan.

“Namun paling penting kami perlukan rehat yang cukup. Kami perlu kembali cergas 100 peratus dan berikan yang terbaik pada perlawanan Sabtu ini.

“Kenangan pahit ditewaskan Pahang pada aksi suku akhir pada 2019 masih saya ingat, namun kini kami selangkah lagi untuk ke final, jadi pastinya kami akan beraksi habis-habisan bagaikan pentas final,” katanya ketika ditemui.

Mengulas lanjut, Tchetche mengharapkan sokongan padu yang bakal diberikan penyokong mampu menyuntik semangatnya dan rakan sepasukan dalam aksi penting itu.

Berdasarkan rekod dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin musim ini, skuad kendalian Nafuzi Zain itu berjaya merakam kemenangan 2-0 menundukkan Selangor FC hasil jaringan Mohd Faisal Halim dan Tchetche.

Sumber : BERITA HARIAN