SEGMEN TERKINI

SEMANIS CINTA

8pm - 12am

35 kenderaan ke arah Kelantan diminta berpatah balik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Penggunaan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang tidak berkaitan, tiada surat kebenaran polis dan tarikh vaksinasi berbeza menyebabkan 35 kenderaan diarah berpatah balik ketika melalui dua sekatan jalan raya (SJR) di Gerik dekat sini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sehingga 4 petang hari ini sebanyak 19 kenderaan diarahkan berpatah balik di SJR Kilometer (KM) 89 Jalan Gerik-Kuala Kangsar.

Menurutnya, sebanyak 14 kenderaan membabitkan kesalahan penggunaan surat Miti diarahkan berpatah balik, dua kenderaan juga diminta berbuat demikian selepas memberikan tarikh vaksinasi yang berbeza, manakala tiga kenderaan lagi kerana tiada surat kebenaran polis.

“Sebanyak 16 kenderaan lagi diambil tindakan yang sama ketika melalui SJR di KM 9 Sungai Lebay, Gerik termasuk 13 kes berkaitan kesalahan surat Miti serta penggunaan surat kebenaran polis untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pihaknya juga mendapati terdapat pengurangan jumlah kenderaan yang menggunakan laluan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) menghubungkan Perak dengan Kelantan hari ini berbanding semalam.

Katanya, keadaan itu diljhat berdasarkan pemerhatian oleh petugas di SJR KM9 Sungai Lebay, Gerik serta KM89 berhampiran Stesen Pemancar RTM Gerik di Jalan Gerik-Kuala Kangsar.

“Bagaimanapun, masih terdapat pergerakan rentas daerah dan negeri atas di kedua-dua SJR itu khususnya membabitkan pasangan jarak jauh (PJJ) membabitkan individu yang berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) selain pergerakan atas urusan vaksinasi.

“Rata-rata pengguna jalan raya terbabit mempunyai kelulusan pergerakan, yang mana kebanyakan mereka adalah atas alasan PJJ termasuk dari Pulau Pinang dan Perlis yang kini di Fasa 2 PPN dan mereka melalui Perak untuk ke Kelantan,” katanya.

Sumber: My Metro