4 individu dikesan positif COVID-19 dilarang masuk Langkawi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ALOR SETAR: Empat individu termasuk suami isteri yang menyertai gelembung pelancongan ke Langkawi tidak dibenarkan menaiki feri di Terminal Feri Kuala Kedah semalam, selepas dikesan positif COVID-19.

Suami isteri itu berusia 30 tahun, manakala dua lagi individu iaitu lelaki, 26 tahun dan seorang wanita berumur 40-an berada di terminal itu pada 1.30 petang, semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata keempat-empatnya dikesan positif COVID-19 selepas melakukan ujian saringan kendiri dan mereka diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.

“Kesemua mereka bukan dari kumpulan sama. Kita ada berhubung dengan pihak hospital untuk mengetahui sama ada mereka ini ada bersama rakan atau ahli keluarga mereka datang ke Langkawi.

“Jika ada kontak rapat, kita akan kesan mereka yang terbabit untuk melakukan ujian saringan pengesanan COVID-19,” katanya.

Kerajaan membenarkan rakyat lengkap vaksinasi untuk melancong di Pulau Langkawi menerusi gelembung pelancongan mulai 16 September lalu dengan beberapa syarat dan prosedur operasi standard yang perlu dipatuhi termasuk melakukan ujian saringan kendiri.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat (dua dari kanan) mengesahkan empat individu yang hendak ke Langkawi didapati positif COVID-19 ketika melakukan ujian saringan kendiri  di Terminal Feri Kuala Kedah.- Foto NSTP/Zuliaty Zulkifli
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat (dua dari kanan) mengesahkan empat individu yang hendak ke Langkawi didapati positif COVID-19 ketika melakukan ujian saringan kendiri di Terminal Feri Kuala Kedah.- Foto NSTP/Zuliaty Zulkifli

Sumber: Berita Harian