
KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir Terengganu meningkat kepada 470 mangsa daripada 141 keluarga di dua daerah iaitu Hulu Terengganu dan Kemaman.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, kesemua mangsa kini berada di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua daerah berkenaan.
“Hulu Terengganu mempunyai 266 mangsa daripada 86 keluarga yang kini menghuni empat PPS.
“Mereka berada di PPS Kampung Lubok Periok, Masjid Kampung Peneh, Balai Raya Kampung Kemat dan Balai Raya Kampung Pelandan,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap Sekretariat JPBNT berkata, seramai 204 mangsa daripada 55 keluarga pula berada di empat PPS di Kemaman.
Katanya, PPS tersebut ialah Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih, Dewan Sivik Air Putih dan Dewan Orang Ramai Kampung Seberang Tayur Hulu.
“Selain itu PPS juga dibuka di Dewan Kentengah Dandong, Dewan Orang Ramai Batu 14 dan Masjid Batu 16 Tebak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
Sumber: KOSMO





