50 Lori Air Disediakan Bantu Pembersihan Kediaman Mangsa Banjir di Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyediakan lebih 50 lori air bagi membantu mangsa banjir membersihkan rumah.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Abdul Rahman Yunus, berkata, lori berkenaan menghantar bekalan ke kawasan terjejas atas permintaan penduduk.

Katanya, bagi kawasan yang tidak mempunyai air, mangsa banjir yang mahu membersihkan rumah atau mahu menggunakan air boleh memaklumkan kepada pihak berkenaan.

“Lori ini akan menghantar air ke rumah dan juga di tangki air statik yang disediakan AKSB untuk kegunaan penduduk.

“Selain membantu untuk pembersihan kediaman, lori ini juga bertindak menghantar bekalan air kepada mangsa banjir yang terjejas sama ada ke rumah-rumah atau di tangki air.

“Alhamdulillah, ketika banjir air yang dihantar mencukupi sekali gus dapat menampung keperluan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Tumboh menyampaikan sumbangan banjir kepada lebih 300 mangsa bah di sini.

Yang turut hadir, Adun Bunut Payong, Datuk Dr Ramli Mamat dan Pengarah G-Orange Kelantan, Raymond Ng.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berharap lebih banyak pihak tampil memberi sumbangan kepada mangsa banjir yang sangat memerlukan.

“Inisiatif yang diambil oleh pihak G-Orange ini diharap dapat memberi contoh kepada pihak lain untuk memberi bantuan kepada mangsa yang terjejas sekali gus dapat meringankan beban mereka,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN