850 Banduan Sedang Bekerja di 21 Syarikat – Pengarah Penjara Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Seramai 850 banduan di penjara di negeri ini sedang bekerja dengan 21 syarikat di Kelantan menerusi Program Corporate Smart Internship (CSI) tahun ini.

Pengarah Penjara Kelantan Penolong Kanan Komisioner Penjara Mat Yaacob berkata mereka ialah banduan yang menjalani perintah Sistem Parol dan Program Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL).

Beliau berkata banduan terlibat dibayar gaji minimun serta disediakan tempat tinggal yang diluluskan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Menerusi Program CSI ini banduan diambil bekerja di bengkel motosikal, perladangan, perkilangan dan spa wanita,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Outreach Memperkasa Komuniti Koreksional ‘We Care’ Peringkat Negeri Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf.

Mengulas lanjut, Mat berkata pihaknya kini menerima banyak permohonan daripada pelbagai syarikat untuk bekerjasama dalam Program CSI itu.

“Sehingga kini sebanyak 50 syarikat dalam senarai menunggu. Program CSI ini sangat bermanfaat kepada banduan kerana dapat memberi pendedahan awal sebelum dibebaskan nanti sekali gus merubah hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata banduan yang terlibat dalam Program CSI juga menunjukkan prestasi baik apabila kadar jenayah berulang sangat rendah iaitu empat peratus berbanding 15 peratus bagi banduan yang tidak mengikuti program berkenaan.

— BERNAMA