87 Peratus Daripada 18,702 Kekosongan Guru Diisi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BACHOK – Kementerian Pendidikan (KPM) menyelesaikan 87 peratus daripada 18,702 kekosongan guru yang dihadapi sejak sekian lama.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, mengatakan masalah itu diselesaikan menerusi pendekatan kekosongan subjek.

Baki lagi 23 peratus itu akan diisi secara berperingkat memandangkan kementerian berdepan masalah kekurangan guru dalam pasaran terutama membabitkan subjek kritikal.

“Apabila saya masuk dalam KPM, saya dimaklumkan terdapat kekosongan lebih 18,000 guru dan masalah itu berlarutan bertahun-tahun.

“Justeru, saya berbincang dan mencari jalan apa pendekatan yang boleh dilaksanakan. Jika dulu guru diambil berkhidmat mengikut opsyen atau jurusan yang diambil di universiti.

“Jadi, kita tukar pendekatan pengambilan dengan menyusun subjek tertentu. Jika sebelum ini, guru Fizik kena tunggu subjek Fizik kosong baru diambil, namun sebenarnya ia boleh mengajar subjek lain seperti Matematik dan dari situ kita menyelesaikan masalah kekurangan guru,” katanya

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022 bertemakan Guru Tunjang Sekolah Sejahtera di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok hari ini.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, pihaknya akan melakukan penggredan sekolah memandangkan kali terakhir dilakukan adalah pada 2003.

Dalam tempoh itu, banyak sekolah berubah gred iaitu daripada 1,000 pelajar hingga kini mencecah 3,000 pelajar sedangkan gred masih tidak ditukar.

“Disebabkan itu, sekolah berkenaan tidak akan mendapat peruntukan yang sepatutnya,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN