SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

90 Hektar Tanah Diluluskan Lagi Bagi Pembangunan TKPM Di Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri meluluskan tanah seluas 90 hektar di Tanjung Putus, Mukim Kuala Kuantan, Kuantan bagi membangunkan satu lagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, TKPM ini ialah yang ke-19 di Pahang dan tambahan ini menjadikan keluasan tanah dikhususkan untuk TKPM di negeri ini kira-kira 5,282.85 hektar atau bersamaan kira-kira 6,860 padang bolasepak.

Beliau berkata, dengan keluasan ini juga meletakkan Pahang sebagai penyumbang terbesar bagi pembangunan TKPM di seluruh negara.

Menurut beliau, tanah di Tanjung Putus yang diluluskan hari ini, melibatkan 28 lot milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Negeri, yang turut diluluskan untuk ditanami sayur-sayuran dan tanaman kontan.

“Peserta yang akan dipilih kelak antaranya ialah dalam kalangan belia antara 18 tahun dan 40 tahun, sama ada lepasan sijil, diploma mahupun ijazah dalam bidang pertanian serta yang bersesuaian.

“Begitu juga dalam kalangan rakyat di bawah kategori B40, dalam lingkungan umur antara 23 dan 50 tahun,” katanya menerusi kenyataan media.

Beliau juga berkata, di bawah Fasa 1, peserta akan diberi keluasan minimum 0.4 hektar sehingga maksimum satu (1) hektar setiap seorang. Di bawah Fasa 2 nanti, peluasan tapak akan tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri.

“Adalah diharapkan dengan kelulusan TKPM termasuk di Tanjung Putus, ia dapat meningkatkan pengeluaran makanan di negeri dan negara ini, sambil membantu menambah hasil pendapatan sewajarnya kepada peserta dalam kalangan rakyat memerlukan,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA