
PASIR MAS – Lebih 500 peniaga di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang di sini merayu supaya benteng pembahagi jalan konkrit setinggi 0.7 meter di kawasan itu dialihkan kerana menjejaskan aliran pengunjung ke bazar mereka.
Peniaga dan juga pemilik Bazar Haji Ibrahim, Mohd Kamaruhzaman Ibrahim, 63, berkata, benteng yang diletakkan sejak awal tahun lepas itu menyebabkan pengunjung berkurangan di bazar persendirian termasuk bazarnya, bazar Puteri, Putra, Impian dan Shazie.
“Penghadang konkrit di cabang empat ini menyebabkan aliran kenderaan sehala menghala ke kiri arah bazar Bonda dan Siti Fatimah, sebaliknya bazar kami terletak di sebelah kanan.
“Pengunjung hanya akan singgah di bazar sebelah sana dahulu dan selesai membeli akan lalu sahaja atau terus keluar tanpa melalui jalan di hadapan bazar kami,” katanya ketika ditemui pemberita di Kawasan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang di sini pada Selasa.
Menurut Mohd Kamaruhzaman,sebelum ini mereka masih mampu bertahan biarpun perniagaan agak perlahan, namun sejak pembahagi jalan dibina tersebut hasil jualan semakin merosot dari hari ke hari.
“Seminggu pun hanya dua, tiga hari ada pelanggan.
“Ramai juga yang dah tak berniaga sebab tak mampu bayar sewa kedai antara RM500 hingga RM1,000 sebulan,” katanya yang mengusahakan 22 lot kedai dan jualan barangan perkakas dapur sejak 35 tahun lalu.
Keadaan itu semakin parah apabila kawasan mereka turut terlindung dengan pemasangan penghadang zink setinggi lebih tiga meter bertujuan projek pembinaan dan menaik taraf kemudahan awam serta infrastruktur sempadan bandar di Rantau Panjang sejak dua minggu lalu serta dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk siap.
Seorang lagi peniaga, Nurul Nazatul Ain Mah Hussain, 36, berkata, mereka memahami penghadang zink itu sebahagian prosedur projek, namun keadaan itu menambah lagi kesulitan kerana kedudukan kedai terlindung dan semakin sukar untuk dilihat pengunjung.
“Dulu jam 7 pagi, kami dah buka kedai, sekarang jam 11 baru datang, jadi lemah semangat sebab pelanggan berkurang, ada tapi tak nampak kedai kami.
Bottom of Form
“Nak laku sehelai baju pun susah,” katanya.
Dia sudah 18 tahun berniaga pakaian di kawasan itu dan keadaan kekurangan pelanggan tersebut yang terburuk dirasainya.
“Kawasan ini ada lebih 10 bazar dan semua peniaga terkesan secara langsung dan menjejaskan pendapatan kami,” katanya.
Dalam pada itu, peniaga, Nur Aisyah Nik Yahya, 38, berkata, ini kali kedua mereka membawa isu sama kepada pihak berkuasa tempatan namun belum ada jalan penyelesaian.
“Terbaharu pada 24 Ogos lalu wakil peniaga sudah bertemu dengan pihak majlis daerah, ahli majlis dan wakil rakyat, namun pertemuan itu masih belum menemukan sebarang penyelesaian konkrit,” katanya.
Sumber : SINAR HARIAN





