
Ipoh : Kartunis ikonik negara, Datuk Mohammad Nor Mohd Khalid atau lebih dikenali Datuk Lat, percaya kepada ruang kebebasan berkarya apabila ia diolah dan dipersembahkan termasuk dalam bentuk pementasan teater.
Lat, 74, yang cukup sinonim dengan naskhah lukisan komik Kampung Boy berkata, kebebasan usaha seni diperlukan walaupun karya beliau yang ingin diadaptasi itu ditokok tambah antara realiti dengan unsur fiksyen.
Kata Lat, seperti mana beliau bercerita untuk masyarakat melalui lukisan dengan menyifatkan karyanya juga adalah campuran antara realiti dan fiksyen, beliau turut berpaut pada pegangan sama bagi pengkarya yang mengadaptasi karya yang dihasilkannya.
“Kita perlukan kebebasan usaha seni… jadi kalau nak buat cerita Lat, ambil buatlah sendiri dan saya tak mahu masuk campur. Kegiatan seni begini memerlukan kebebasan dan kebebasan yang saya berikan kepada anda sekalian memang 100 peratus.
“Bila naik ke pertunjukan pentas (teater), pelakon-pelakon akan menghidupkan cerita. Saya boleh lihat cerita saya itu rupanya ia banyak bercabang-cabang dan ia lebih ‘hidup’ daripada buku-buku saya, (sebab) kira-kira 95 peratus buku-buku saya, yang ‘membuat kerja’ itu adalah lukisan.
“Seperti saya buat (teater muzikal) Kampung Boy bersama Hans Isaac dan Harith Iskandar di Istana Budaya. Bila saya sudah ok dengan cara mereka menceritakannya, maka saya putus hubungan dan saya kata teruskan sebab kegiatan seni begini memerlukan kebebasan,” katanya.
Lat yang juga bekas wartawan News Straits Times (NST) berkata demikian dalam sesi sidang media khas sempena pratonton pementasan Karya Teater Seniman Negara, Datuk Lat- Kampung Boy di Auditorium Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Perak, di sini malam tadi.
Teater berkenaan diarahkan Ridhwan Saidi dan Saad Omar selaku penulis skrip, dijadual akan ditayangkan 14 November hingga 16 November ini juga di Auditorium JKKN Perak, di sini.
Mengulas lanjut, Lat yang juga Seniman Diraja Perak berkata, penceritaannya sendiri melalui karya miliknya juga diolah secara naratif daripada cerita sebenar.
Menurut Lat, cara sesebuah penceritaan seperti mengenai apa yang berlaku kepada kawan-kawannya, diceritakan dengan menjadikan dirinya sendiri sebagai ‘first person’ (sudut pandang orang pertama).
“Jadi, sesuatu penceritaan memang betul berlaku tetapi (hakikatnya) bukanlah pada saya. (Seperti) kita tengok cerita (teater) tadi, akhirnya Lat meninggalkan kampung.
“Memang betul (tapi) dia (watak Lat) naik bas boleh jadi tak betul. Tetapi tidak mengapa itu cara kita bercerita dan sebab itu kita perlukan kebebasan usaha seni.
“Saya lihat yang saya tak boleh buat seperti pertunjukan pentas (teater) ini disebabkan ia memerlukan dialog yang banyak dan dialog itu dihafal pelakon-pelakon, sesuatu yang saya tak boleh bayangkan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JKKN Perak, Hisham Mat Husien berkata, pementasan teater Kampung Boy itu mendapat nilai berprestij tertinggi apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan dan dijadualkan akan berangkat menyaksikan pementasan teater itu pada malam Sabtu ini, 15 November 2025.
Sumber: Harian Metro





