
Kuala Lumpur : Ditiduri dan melakukan hubungan batin dengan bomoh adalah ritual wajib bagi memasukkan susuk yang kuat serta berkesan.
Ternyata sisi gelap amalan memakai susuk yang menjadi rahsia besar dunia khurafat dipercayai masih berlaku hingga kini.
Pakar perawat susuk, Faridzuan Jamaludin berkata, bomoh melakukan perbuatan terkutuk itu ketika pemakai susuk dalam keadaan separuh sedar dan ada juga dalam keadaan sedar demi mencapai tujuan diinginkan.
Menurutnya, perkara sama turut menimpa lelaki yang mendapatkan khidmat memakai susuk dengan bomoh wanita.
“Sekiranya bomoh wanita berusia 70 tahun, mantera yang dibaca akan membuatkan lelaki ini melihat bomoh berkenaan seperti wanita berusia 20 atau 30 tahun bagi merangsang nafsunya.
“Sebaliknya jika pemakai susuk dan bomoh adalah lelaki, mereka tidak ke ranjang, tetapi suruh lelaki ini (pemakai susuk) melakukan perbuatan syirik seperti amalan memuja iblis atau mencari darah haid wanita bagi ritual,” katanya.
Katanya, susuk ialah amalan memasukkan logam atau objek halus di bawah kulit bagi mendapatkan sesuatu kelebihan.
“Ia diperbuat menggunakan pelbagai jenis bahan seperti tulang haiwan iaitu ayam, harimau, khinzir, kambing dan sebagainya.
“Ada juga susuk diperbuat daripada aluminium, besi, perak, emas, batu permata, batu geliga dan tumbuh-tumbuhan. Objek ini dipuja melalui dua kaedah iaitu pemujaan ritual kafir yang bermaksud menggunakan perantara jin kafir. Keadah seterusnya ialah ritual memanggil jin menggunakan ayat al-Quran dan zikir dicampur mantera,” katanya.
Faridzuan berkata, terdapat beberapa sebab seseorang memaki susuk antaranya atas tujuan nafsu dan kemahuan untuk ‘mengikat’ pasangan supaya tidak curang.
“Sebab kedua sebagai daya penarik dan menaikkan seri wajah supaya orang yang melihat tidak boleh melupakannya.
“Sebab ketiga untuk tujuan awet muda dan ‘kelebihan’ ini boleh dilihat kepada pemakai susuk berusia 80 tahun.
“Berdasarkan sistem komputer untuk menganalisis penyakit menunjukkan tubuh warga emas ini seperti wanita muda 30-an, contohnya di bahagian kemaluan kerana memakai susuk,” katanya.
Menurutnya, pengalaman sebagai pakar perawat susuk sejak 15 tahun lalu mendapati bilangan bomoh yang memberikan khidmat memakai susuk semakin meningkat.
“Ini disebabkan permintaan memakai susuk di Malaysia tinggi. Terdapat lebih kurang 100 bomoh susuk dan statistik ini berdasarkan pengakuan pemakai susuk yang membuat rawatan mengeluarkan susuk dan memberitahu lokasi mereka memakai susuk berkenaan,” katanya.
Sumber : HARIAN METRO





