
PUTRAJAYA: Teater Muzikal Paduka Cik Siti yang dipentaskan di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) di Presint 3, di sini sebanyak empat sesi, berakhir, Ahad lalu, menyelongkar sisi kemanusiaan pemerintah wanita terkenal Kelantan, Cik Siti Wan Kembang.
Pengarah teater muzikal itu, Mohd Kamarulzaman Taib atau lebih dikenali sebagai Che Kem berkata, pementasan Teater Muzikal Paduka Cik Siti tidak sekadar menghidupkan semula naratif kegemilangan sejarah, sebaliknya dirangka sebagai sebuah perjalanan emosi yang menyelami sisi kemanusiaan Cik Siti Wan Kembang.
“Watak pemerintah wanita ini dipersembahkan sebagai sosok yang tegas, berani dan berwibawa. Namun, sosok ini terperangkap dalam tekanan berlapis daripada konflik dalaman istana sehinggalah ancaman kuasa luar, termasuk serangan Siam,” katanya.
Che Kem berkata, Teater Muzikal Paduka Cik Siti sengaja mengelak representasi Paduka Cik Siti lakonan Asmidar sebagai figura legenda yang kaku dan terikat kepada mitos semata-mata.
“Sebaliknya, watak ini ditampilkan sebagai insan berjiwa besar yang bergelut mempertahankan maruah diri, kedaulatan negeri dan amanah pemerintahan dalam landskap sosial yang masih kuat dibayangi prasangka patriarki.
“Keraguan para pembesar lelaki terhadap kemampuan seorang wanita menduduki takhta diterjemahkan secara halus dan matang melalui lirik Gusar Para Pembesar hasil tulisan Dr Hairul Anuar Harun,” katanya.
Che Kem menambah, konflik teras ini kemudian diperkukuh dengan sentuhan koreografi yang bersifat humor oleh Alla Azura Abal Abas dan Faillul Adam, sekali gus memberi keseimbangan antara kritikan sosial dan kelegaan dramatik.
Lirik Menjawab Hajat yang dilantunkan oleh Taqim Zaki yang mengalas watak Panglima Merah serta Sembunyi Sunyi yang dinyanyikan Asmidar, hasil nukilan Hairul Anuar, berfungsi sebagai nadi emosional kepada epik legenda ini. Hubungan cinta antara Cik Siti Wan Kembang dan Panglima Merah, watak dihadirkan oleh pengarah bagi memperkukuh kesan dramatik malah memberi dimensi peribadi yang lebih mendalam terhadap penceritaan.
Keseluruhan pengalaman muzikal ini diperkasakan melalui komposisi lagu oleh Sufian Faidzal Arshad dan Ayob Azril, dengan gubahan muzik yang diteliti oleh Ilham Subri, sekali gus membentuk sebuah persembahan yang bukan sahaja menghiburkan atau sekadar memori terhadap persembahan, tetapi kesedaran bahawa seni berfungsi sebagai jambatan menghubungkan warisan bangsa dengan generasi baharu dalam bentuk yang boleh dirasai, difahami dan dihargai.
Muzikal ini membuktikan bahawa legenda tidak pernah mati, sebaliknya, ia hanya menunggu untuk dihidupkan kembali dengan tafsiran kontemporari.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Teater Muzikal Paduka Cik Siti merangkap Pengerusi Persatuan Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Iefiz Alaudin, berkata projek itu adalah hasil kerjasama strategik antara ASWARA dan Persatuan Alumni ASWARA.
“Pementasan ini turut menerima sokongan pembiayaan melalui Geran Karya Agung daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
“Putrajaya seterusnya menjadi pentas pertemuan antara legenda, seni dan sejarah apabila Paduka Cik Siti dipersembahkan di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin dalam empat sesi pementasan sepanjang tiga hari mulai 19 Disember lalu,” katanya.
Pementasan Muzikal Paduka Cik Siti dianggap cukup bermakna apabila Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar dulu menyaksikan persembahan itu, Ahad lalu.
Kehadiran Tengku Permaisuri Norashikin bukan sahaja melambangkan sokongan berterusan terhadap perkembangan seni persembahan tempatan, malah, memperkukuh kedudukan karya ini sebagai sebuah produksi penting dalam landskap teater muzikal serta wacana budaya negara.
Sumber: BERITAHARIAN




