
KUALA TERENGGANU — Tourism Malaysia memulakan tirai tahun baharu 2026 dengan penganjuran sambutan khas di pintu masuk antarabangsa serta hab pengangkutan utama negara bagi mengalu-alukan ketibaan pelawat antarabangsa sempena pelancaran rasmi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026 – VM2026).
Majlis sambutan peringkat kebangsaan ini telah diserikan dengan kehadiran YB Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), salah satu lokasi utama pelaksanaan inisiatif pembukaan kempen VM2026. Sambutan serentak turut dianjurkan di 55 pintu masuk utama dan lokasi terpilih merangkumi kesemua 13 negeri di Malaysia.
Menurut YB Dato’ Sri Tiong King Sing, “Visit Malaysia 2026 bukan sekadar sebuah kempen pelancongan, malah merupakan satu gerakan nasional yang mencerminkan semangat perpaduan, keharmonian, kemesraan serta kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia. Sambutan ketibaan pelawat pada hari pertama tahun 2026 melambangkan komitmen negara dalam menawarkan pengalaman pelancongan yang inklusif, kreatif dan mesra pengunjung sepanjang tahun.”
Di Terengganu, majlis sambutan telah berlangsung di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dan disempurnakan oleh YB Datuk Razali bin Idris, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, yang mewakili YAB Menteri Besar Terengganu.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan harapan agar kempen VM2026 mampu memberikan impak positif kepada sektor pelancongan negeri, seterusnya menjadi pemangkin kepada kejayaan Tahun Melawat Terengganu 2027 (TMT2027). Kerajaan Negeri turut menzahirkan hasrat agar setiap pelancong yang berkunjung ke Terengganu dapat menikmati pengalaman percutian yang unik, selesa dan bermakna, berpaksikan keindahan alam semula jadi, warisan budaya serta nilai masyarakat setempat.
Penganjuran sambutan peringkat nasional ini direalisasikan melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri, syarikat penerbangan, pihak berkuasa lapangan terbang, penggiat industri pelancongan serta rakan strategik. Antara sokongan yang disumbangkan merangkumi aspek logistik, penyediaan lokasi serta penganjuran bersama penaja seperti Guardian, JKKN Terengganu, Kraftangan Terengganu, MAMEE, Tourism Terengganu dan rakan strategik lain.
Penajaan dalam bentuk baucar, produk makanan dan minuman, cenderamata serta diskaun pusat tarikan telah menambah nilai kepada pengalaman ketibaan pelawat, sekali gus mencerminkan kesiapsiagaan Malaysia dalam menyambut kunjungan pelancong dari seluruh dunia.

Bagi memeriahkan acara, pelawat terawal di lokasi terpilih disambut dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk muzik gamelan serta tarian tradisional dan kontemporari yang mengetengahkan elemen warisan negara. Turut mencuri tumpuan ialah kehadiran maskot rasmi VM2026, Wira dan Manja. Para pelawat juga menerima cenderamata eksklusif bertemakan VM2026 sebagai kenangan istimewa percutian mereka di Malaysia.
Selain itu, Kalendar Acara VM2026 turut diperkenalkan, menampilkan lebih 300 program dan acara sepanjang tahun merangkumi seni, budaya, warisan dan kepelbagaian kaum. Antara acara utama termasuk VM2026 Chinese New Year Festival, VM2026 Aidilfitri Festival, VM2026 Deepavali Festival, VM2026 Christmas Fest, serta perayaan tradisi tempatan seperti Pesta Kaamatan (Tadau Kaamatan) dan Pesta Gawai.
Menerusi kempen ini, Malaysia menyasarkan 43 juta pelawat antarabangsa pada tahun 2026, sejajar dengan usaha berterusan memperkukuh sektor pelancongan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. Sasaran ini disokong oleh prestasi ketibaan pelawat antarabangsa yang memberangsangkan, dengan 38.3 juta pelawat direkodkan dari Januari hingga November 2025.
Berteraskan lagu tema “Surreal Experiences”, VM2026 akan menampilkan pelbagai program dan aktiviti sepanjang tahun termasuk festival, acara kebudayaan, pameran serta sambutan komuniti yang direka khas bagi memukau dan menarik minat pelawat dari seluruh dunia.
Secara keseluruhan, VM2026 dijangka mampu meningkatkan ketibaan pelawat, menjana peluang pekerjaan serta memperkukuh imej Malaysia di peringkat antarabangsa. Kempen ini juga diyakini memberi manfaat kepada ekonomi komuniti setempat serta menyokong perkembangan sektor berkaitan seperti pengangkutan, peruncitan, kraftangan dan industri kecil dan sederhana (IKS).




