‘Tebalkan Muka Minta Beras Di Masjid’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Sik: “Saya terpaksa tebalkan muka pergi ke masjid minta beras untuk makan. Duit yang ada hanya cukup untuk keperluan anak ke sekolah,” kata Nur Adila Wa Chek, 45.

Ibu tunggal kepada empat anak ini bergelut meneruskan kehidupan selepas kehilangan suami, Mohd Shah Mat, 44, yang meninggal dunia pada 14 Disember 2024 akibat strok otak, kegagalan hati dan buah pinggang.

Katanya, sejak pemergian suami, dia memikul tanggungjawab sepenuhnya menjaga anak sambil meneruskan perniagaan burger kecil-kecilan yang diusahakan Mohd Shah sebelum ini.

Namun, untung hasil jualan hanya kira-kira RM15 sehari, jauh daripada mencukupi untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Keadaan menjadi lebih perit apabila dia sendiri menghidap penyakit asma dan kencing manis selain sering berasa kebas di kaki jika berdiri terlalu lama, sekali gus menyukarkan pergerakannya ketika berniaga.

“Saya berniaga sampai jam 12 malam, selepas itu balik rumah. Esok pagi kena bangun awal hantar anak ke sekolah pula.

“Orang nampak saya senang sebab sebelum ini ada kereta tetapi kereta itu diberikan individu yang prihatin. Sekarang kereta itu rosak dan saya tak mampu nak perbaiki,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Selayang di sini, semalam.

Nur Adila berkata, dia tidak mampu mencari pekerjaan lain kerana perlu mengurus, menghantar dan mengambil anak dari sekolah setiap hari.

Lebih menyedihkan rumah bantuan zakat yang didiami tidak mempunyai bekalan air sehingga dia terpaksa mengambil bekalan air dari rumah bapa mentuanya yang tinggal bersebelahan.

Bapa mentuanya pula merupakan orang kurang upaya berkaki palsu dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Peti ais, televisyen dan mesin basuh semuanya rosak dan saya tak mampu hendak baiki. Saya kini hanya bergantung kepada sebuah motosikal untuk bergerak, menghantar anak ke sekolah termasuk ke tempat berniaga berdekatan stesen teksi di Pekan Sik,” katanya.

Menurutnya, seorang anaknya bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini dan seorang lagi akan menaiki sekolah menengah manakala seorang berusia lima tahun akan ke tadika.

“Sehingga kini, pakaian sekolah saya tak beli dan hanya sepasang pakaian dibeli untuk anak yang akan masuk tadika.

“Yuran sekolah pun saya bayar ansuran seperti sebelum ini, cikgu pun sudah faham keadaan saya, nak bayar sekali gus memang tak mampu,” katanya.

Nur Adila berkata, dia menerima bantuan zakat sebanyak RM400 sebulan dan bantuan JKM sebanyak RM650 iaitu bantuan anak sekolah.

Namun, katanya, jumlah itu masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian, bil, makanan dan perbelanjaan persekolahan anak.

Dalam kesempitan hidup, Nur Adila mengakui ada ketika dirinya hampir berputus asa, namun mengenangkan anak, dia menguatkan semangat untuk terus bertahan.

“Saya tak minta mewah. Cukuplah ada makanan untuk anak-anak dan keperluan asas di rumah, apabila tiada peti ais, tiada mesin basuh, saya kurang rehat kerana terpaksa basuh pakaian dengan tangan,” katanya dengan nada sebak.

Orang ramai yang ingin membantu Nur Adila boleh menyumbang ke ke akaun Bank Rakyat miliknya, 2243972040.

Sumber: HarianMetro