AKM Kelantan Tawar Barangan Keperluan Pada Harga Berpatutan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Pengunjung program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan yang akan diadakan selama tiga hari bermula Jumaat ini (22 Julai) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, berpeluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga murah.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Datuk Seri Mohammad Mentek berkata jualan itu diadakan menerusi kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Beliau berkata pelbagai barangan keperluan akan dijual pada harga berpatutan menerusi AKM itu yang akan berlangsung bermula 9 pagi hingga 9 malam, sekali gus diharap dapat memberi penjimatan hebat kepada masyarakat.

“Selain jualan barangan keperluan harian pada harga berpatutan, terdapat pelbagai pameran dan gerai jualan daripada peniaga kecil termasuk peniaga industri kecil sederhana (IKS) yang turut diberikan peluang menjual barangan mereka dengan harga murah.

“Kita harap dengan adanya inisiatif ini dapat meringankan beban Keluarga Malaysia terutamanya masyarakat di negeri Kelantan. Oleh itu, kita ingin menyeru rakyat Kelantan untuk hadir memeriahkan jelajah tersebut bermula Jumaat ini, sekali gus dapat memanfaatkan pelbagai tawaran yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara program jelajah AKM Kelantan di RTM, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad berkata AKM Kelantan itu yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, turut menawarkan pelbagai pameran perkhidmatan daripada 26 kementerian.

“Semua perkhidmatan kerajaan kita satukan di AKM ini. Jika sebelum ini masyarakat perlu datang ke pejabat untuk berurusan, tetapi dengan adanya jelajah tersebut pihak kementerian yang terlibat turun padang untuk menawarkan khidmat kepada masyarakat.

“Bagi AKM edisi keenam ini juga kita melanjutkan operasi terutamanya pameran, iaitu sehingga 9 malam berbanding AKM di negeri lain sebelum ini setakat 6 petang. Oleh itu, mereka yang bekerja di siang hari masih berpeluang memeriahkan jelajah ini pada waktu malam,” katanya.

Selain itu, menurutnya pelbagai persembahan rakyat dan pertandingan permainan tradisional termasuk persembahan artis tempatan turut ditampilkan sepanjang tiga hari AKM diadakan.

“Slot kerohanian iaitu Bicara Ulama Nusantara yang menampilkan tokoh agama terkenal Baba Ghazali Ahmad Al-Fatani dari Pattani, Thailand sebagai ahli panel juga akan disajikan kepada pengunjung, sekali gus diharap sasaran 50,000 pengunjung menerusi jelajah ini dapat dicapai,” katanya.

Sumber: BERNAMA