Allahyarham Nik Mohammad Firdaus suka bersedekah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Selepas enam tahun lumpuh akibat terjatuh dari kuda, Nik Mohammad Firdaus Nik Yusri akhirnya menghembuskan nafas terakhir malam tadi.

Nik Mohammad Firdaus, 21, yang juga menderita ketumbuhan sebesar bola takraw di belakang badan meninggal dunia pada jam 10.30 malam di Wad 2 Intan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Menurut adiknya, Nik Rafli Nik Yusri, 19 berkata, abangnya itu dimasukkan ke hospital sejak seminggu lalu berikutan tidak tertanggung menahan sakit di dalam mulut selain tiada selera makan dan demam.

“Dua hari lalu dia dirawat di ICU kerana keadaan semakin teruk namun kembali stabil keesokan hari bagaimanapun petang semalam, abang kembali tenat.

“Doktor segera melakukan kecemasan pemulihan pernafasan dan jantung (CPR) tetapi dia tidak sedarkan diri dan hanya bergantung kepada bantuan oksigen.

“Menjelang malam, denyutan nadinya semakin lemah dan saya sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sambil membuat panggilan video kepada adik-beradik lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tok Ku Sering, di sini, hari ini.

Nik Rafli berkata, abangnya disifatkan seorang yang sangat pemurah dan berdikari malah turut membelikan baju raya kepada semua enam beradik dan ibu bapanya pada Aidilfitri lalu.

Jenazah Nik Mohammad Firdaus dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Ku Sering pada jam 11.30 pagi tadi.

Kunjungan ke rumahnya turut dibuat oleh kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society yang diketuai pengerusinya, Che Norhayati Mohamed.

NIK Rafli bersama ibunya, Emillia Abdullah, 48, menunjuk gambar arwah Nik Mohammad Firdaus yang menghembuskan nafas terakhir malam tadi selepas enam tahun terlantar akibat lumpuh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NIK Rafli bersama ibunya, Emillia Abdullah, 48, menunjuk gambar arwah Nik Mohammad Firdaus yang menghembuskan nafas terakhir malam tadi selepas enam tahun terlantar akibat lumpuh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Che Norhayati berkata, sebelum ini pihaknya pernah beberapa kali datang memandikan Nik Mohamad Firdaus memandangkan ibunya mengalami masalah kemurungan manakala bapa bekerja dan adik beradik menetap berasingan.

“Dalam masa sama saya turut menjadi perantara untuk sebuah NGO lain yang memberi sumbangan bulanan kepada arwah iaitu sebanyak RM500 sebulan yang akan saya serahkan sendiri ke tangannya sejak enam bulan lalu.

“Bagaimanapun untuk bulan ini, arwah memberitahu agar tidak perlu datang menyerahkan sumbangan itu sebaliknya memasukkan itu ke dalam akaun banknya tanpa memberi alasan sebelum saya menyedari mungkin dia sudah tahu ajalnya tidak lama,” katanya sambil memberitahu Nik Mohammad Firdaus turut bersedekah kepada asnaf lain menggunakan sumbangan yang diterimanya.

Sumber: My Metro