Anggap Covid-19 bukan wabak serius punca kes naik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Sikap acuh tak acuh penduduk, malah ada yang menganggap Covid-19 bukan wabak serius menyebabkan daerah ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan penularan pandemik terbabit.

Menteri Besar Pahang Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau terkilan dengan sikap penduduk yang sedemikian hingga menyebabkan berlakunya peningkatan kes setiap hari.

“Pada pandangan saya, peningkatan kes ini bermakna rakyat masih menganggap wabak ini tidak serius kerana penularan ini hanya dapat diputuskan apabila semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Oleh itu kita perlu patuh kepada SOP terutama penjarakan fizikal dan tidak berada di tempat orang ramai.

“Tindakan tegas iaitu kompaun akan dikenakan terhadap mereka yang ingkar untuk memastikan kes tidak meningkat,” katanya yang ditemui selepas pelancaran Bantuan Prihatin Pahang sempena Aidilfitri 2021 di pekarangan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan di sini, hari ini.

Kuantan dikenakan PKP bermula hari ini hingga 23 Mei.

Semetara itu mengulas mengenai bantuan itu, beliau berkata, sebanyak 11,800 kotak barang keperluan diperuntukkan untuk penerima yang layak mengikut senarai penerima dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, agihan dibuat menerusi 42 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menerima 8,400 kotak; 2,800 kotak bagi 14 Parlimen, manakala 600 kotak kepada Pejabat Menteri Besar.

Sumber: My Metro