APM Kelantan bantu 9,392 penduduk luar bandar daftar program vaksinasi COVID

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU, 6 April — Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan membantu 9,392 orang penduduk luar bandar di negeri ini mendaftar bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, sejak 20 Mac lepas sehingga semalam.

Pengarah APM Kelantan Zainuddin Hussin berkata kebanyakan individu yang dibantu untuk mendaftar melalui projek Agen Basmi COVID-19 (ABC-19) itu adalah golongan warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan penduduk yang tidak mempunyai telefon pintar.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan yang berjaya didaftarkan itu, 6,832 dari Pasir Mas, Gua Musang (1,666), Machang (476), Pasir Puteh (302) dan Kuala Krai (116).

“Usaha ini akan dipergiatkan kerana kita baru sahaja mendapat arahan daripada Ibu Pejabat APM untuk gerakkan anggota dan pegawai APM di seluruh negara bagi tujuan ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata seramai 50 anggota sukarelawan APM di setiap cawangan di jajahan akan ke kawasan kampung bagi membantu penduduk mendaftar dan memberi penerangan mengenai program imunisasi itu.

”Kita sasarkan setiap anggota berjaya membuat pendaftaran ke atas 10 penduduk dalam sehari. Jika formula ini berjaya, mungkin 500 orang boleh didaftarkan dalam tempoh sehari di sesebuah jajahan,” katanya.

Sumber: Bernama