SEGMEN TERKINI

SEMANIS CINTA

8pm - 12am

Asnaf boleh mohon bantuan tambahan lain – Maidam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Golongan asnaf di negeri ini boleh mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan lain, selain bantuan yang sudah diterima.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam), M Rozi Bidin berkata, pihaknya sedia memberi pertimbangan namun memaklumkan bahawa bantuan lain boleh dipohon mestilah dalam kategori lain.

“Sebagai contoh, penerima bantuan dalam kategori sara hidup dan bulanan boleh memohon mendapatkan bantuan lain termasuk membaiki rumah serta bantuan pendidikan.

“Kita tidak dapat meluluskan permohonan golongan asnaf yang sudah menerima bantuan sara hidup diagihkan sekali setahun untuk mendapatkan bantuan secara bulanan,” katanya.

M Rozi berkata demikian ketika mengulas dakwaan sesetengah pihak yang menuduh Maidam hanya meluluskan satu bantuan untuk setiap golongan asnaf.

Katanya, pegawai penyiasat yang dihantar melakukan siasatan diberi kuasa untuk membuat tambahan bantuan kategori lain kepada setiap pemohon yang mengemukakan permohonan mendapatkan bantuan.

Mengulas dakwaan pengagihan dilakukan Maidam tidak adil seperti ditularkan di media sosial, M Rozi berkata, bantuan kecemasan membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM10 juta itu diluluskan kepada semua golongan asnaf susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, bantuan kecemasan itu disalurkan berdasarkan kepada jumlah tanggungan Ketua Isi Rumah (KIR).

“Kita sudah membuat ketetapan bantuan tunai sebanyak RM300 diberikan kepada KIR yang mempunyai tanggungan antara seorang hingga empat orang, manakala RM500 untuk mereka yang mempunyai tanggungan melebihi lima orang.

“Dakwaan mengatakan KIR yang mempunyai tanggungan melebihi lima orang mendapat bantuan RM300 seperti dimuatnaik melalui Facebook itu tidak berasas. Kita sudah siasat, mendapati pemilik laman sosial itu membuat tuduhan tanpa merujuk kepada penerima dan (tuduhan) dibuat secara rambang,” katanya.

Tambahnya, bantuan kecemasan disalurkan kepada lebih 200,000 penerima itu adalah bantuan kecemasan tanpa mengurangkan bantuan lain.

Sumber: My Metro