Bangunan Pasar Payang 2 Mula Beroperasi 1 Julai

Facebook
Twitter
Google+

KUALA TERENGGANU, 25 Jun 2019: Bangunan Pasar Payang baharu yang menjadi lokasi sementara bagi peniaga-peniaga disitu akan mula beroperasi pada 1 Julai nanti.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, bangunan premis baharu itu berada pada tahap terbaik.

Tambahnya, isu mengenai air memenuhi ruang pasar yang ditularkan baru-baru ini berlaku di luar kawasan tersebut.

Menerusi laporan sebuah portal, Alias berkata struktur longkang serta aliran air di dalam pasar itu telah dipastikan berada dalam keadaan terbaik dan tidak mengalami apa-apa masalah.

“Semalam ditularkan berlaku banjir di Pasar Payang ini, jadi kita adakan lawatan hari ini dan hasilnya tidak sebagaimana yang dihebohkan, bangunan ini pun belum siap sepenuhnya, proses tambah baik di tahap akhir.

Sebenarnya semalam berlaku ribut menyebabkan air luar ditolak masuk menyebabkan lantai basah sedikit, air hujan memasuki kawasan yang belum sempurna pemasangan atap, bukan berlaku banjir dan bukan sebab saliran perparitan,” jelasnya.

Tambah Alias lagi, sistem struktur lain yang dikatakan tidak berfungsi serta merbahaya adalah tidak benar dan ia bukanlah seperti yang disangkakan.

Sebaliknya, segala sistem dan operasi pasar yang bakal digunakan secara berperingkat itu sudah bersedia sepenuhnya.

“Yang ditunjukkan dalam gambar, air keluar dari tanah (lubang air buang), itu sebenarnya adalah paip untuk penyaman udara yang pergi ke longkang. Jadi adalah berlaku sedikit sumbatan dalam saluran keluar, bukan air bumi atau sungai yang terperangkap.

“Semua perkara itu sudah selesai dan ia akan beroperasi (perpindahan) sebagaimana yang dirancang, insya-Allah dalam masa terdekat, 1 Julai nanti,” tambah beliau.

Terdahulu, kerajaan negeri Terengganu telah bersetuju menangguhkan proses pemindahan kira-kira 1000 orang peniaga pasar itu yang pada awalnya dijadualkan pada bulan Jun.

Sumber: Teganukita.net

Foto Safwan Syakir / Teganukita.net

 

MENARIK

Ikuti kami :

Hak Cipta Terpelihara © 2018 Husa Network Sdn Bhd

Husa Network Sdn Bhd (464366),
No 18, Tingkat 1 & 2, Pusat Komersial Chabang Tiga,
21000 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.​

Tel : 09 – 6262255(Pejabat) | Fax : 09-6262266
Email : admin@manis.fm
Tel Konti : 09-6241008