Banjir Di Sumatera: Penduduk Redah Kayu Balak Untuk Ke Pusat Bantuan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Aceh Tamiang, Indonesia: Mangsa banjir di wilayah Aceh Tamiang, Sumatera, dilaporkan terpaksa memanjat kayu balak yang licin dan berjalan kira-kira sejam pada semalam untuk mendapatkan bantuan.

Data kerajaan menunjukkan angka kematian akibat banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh siklon di tiga wilayah Indonesia di Sumatra termasuk Aceh meningkat kepada 908 orang pada Sabtu dengan 410 disenaraikan sebagai hilang.

Sistem ribut itu turut membunuh kira-kira 200 orang di selatan Thailand dan Malaysia.

Mangsa yang terselamat di wilayah Aceh Tamiang, di timur laut Sumatera terpaksa berjalan selama sejam, merangkak di atas kayu balak yang bertaburan dan melalui kereta terbalik untuk sampai ke pusat agihan bantuan yang ditubuhkan sukarelawan.

Seorang pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh Islam, Dimas Firmansyah, 14, berkata, akses keluar masuk dari Aceh Tamiang terputus dengan pelajar terpaksa tinggal di sekolah itu selama seminggu, bergilir-gilir mencari makanan, serta merebus dan minum air banjir.

Pegawai kerajaan tempatan di Sumatera meminta kerajaan pusat di Jakarta mengisytiharkan darurat negara bagi membebaskan dana tambahan untuk usaha menyelamat dan bantuan.

Bagaimanapun, Presiden Prabowo Subianto pada awal minggu ini berkata, situasi semakin bertambah baik dan urusan semasa dianggap mencukupi.

Sementara itu, kumpulan alam sekitar menyalahkan penebangan hutan yang dikaitkan dengan perlombongan dan pembalakan kerana memburukkan kerosakan akibat banjir.

Kerajaan Indonesia kini menyiasat syarikat yang disyaki terbabit dalam pembersihan hutan di kawasan yang dilanda banjir.

Kementerian Alam Sekitar Indonesia berkata, ia menangguhkan sementara operasi syarikat terbabit dan menghendaki mereka melakukan audit alam sekitar.

Syarikat yang disiasat termasuk North Sumatra Hydro Energy yang mengendalikan loji kuasa hidro 510-megawatt yang dibiayai China di wilayah Batang Toru di Sumatera Utara, dan Agincourt Resources yang mengendalikan Lombong Emas Martabe juga di Batang Toru.

Tinjauan udara mendedahkan aktiviti pembersihan tanah di Batang Toru yang mungkin memburukkan lagi banjir, menurut kementerian itu.

North Sumatra Hydro Energy tidak segera memberi maklum balas terhadap pertanyaan yang dihantar melalui LinkedIn, manakala Agincourt Resources juga belum menjawab permintaan melalui e-mel untuk mendapatkan komen.

Sumber: Metro