Banjir: Lebih 40 guru SK Peremba terkandas di Hat Yai

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ALOR SETAR, 23 November -Seramai 47 guru Sekolah Kebangsaan Peremba di Jalan Kilang Tebu, Kuala Kedah terkandas di sebuah hotel penginapan, di Hat Yai akibat banjir yang melanda beberapa Wilayah di Thailand, ketika ini.

Kesemua guru sekolah berkenaan menyertai Program Lawatan Penanda Aras dan Jamuan Akhir Tahun ke Thailand selama dua hari bermula Jumaat lalu dan dijadual pulang semula ke Kedah, semalam.

Guru Besar sekolah, Nor Zanita Bakar berkata, mereka bergerak dari sekolah dengan menaiki bas pada awal pagi Jumaat dan tiba di Thailand, beberapa jam kemudian.

Pada hari pertama, mereka telah menghadiri beberapa program termasuk di Samakisast Wittaya School, Songkhla.

Bagaimanapun ketika menginap di sebuah hotel di pekan Hat Yai semalam, mereka terkejut apabila sekitar hotel yang didiami mereka ditenggelami air akibat hujan lebat.

“Hotel yang kami duduk ni paras air takat dada, sebelah hotel cikgu belah kiri takat dada jugak..yang depan hotel ni paras pinggang ha..jalan depan sikit takat dada, so sapa pun tak boleh keluar,” katanya ketika dihubungi RTM.

Keadaan lebih buruk apabila pihak hotel terpaksa memutuskan bekalan elektrik bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Keadaan itu menimbulkan kesukaran kerana mereka tidak dapat mengecas telefon bimbit untuk berhubung dengan ahli keluarga dan sebagainya.

Mengenai bekalan makanan, Nor Zanita berkata, ia sangat menyedihkan kerana makanan yang dihantar ke hotel sangat sedikit dan cukup untuk mengalas perut.

“Paling sedih sekali makanan la..makanan ni sangat-sangat sikit, so ada la orang bagi sarapan pagi dan lunch, lepas tu dinner pun dalam pukul 9.00 (malam) nasi putih dan telur kira bagi kejap perut ja la.. Alhamdulillah la..ada dua kali nasi, yang lain takdak sebab bila kawasan semua penuh dengan air so depa tak boleh nak beli kat luar ka apa ka..semua tutup,” katanya.

Ketika ini, mereka masih berada hotel berikutan paras air masih tinggi dan menunggu banjir pulih sepenuhnya sebelum pulang semula ke Kedah.

Sumber : BERITA RTM