Bantuan disambut penuh kesyukuran

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Lipis: Pelbagai bantuan dan inisiatif disediakan Risda untuk membantu pekebun kecil menjana pendapatan disambut dengan rasa syukur oleh penerima.

Pekebun kecil yang ditemui menyifatkan bantuan itu banyak memberi faedah kepada mereka dan turut meningkatkan pendapatan bulanan mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Penerima Bantuan Program Tanam Semula Getah, Ismail Ali, 58, berterima kasih kepada Risda yang banyak membantu pekebun kecil getah.

Katanya, banyak bantuan pertanian seperti benih, baja disediakan Risda termasuk khidmat nasihat diberikan.

Bagi Adam Malik Mohamad, 60, peruntukan besar untuk mengatasi masalah penyakit daun luruh amat dialu-alukan kerana jika tidak dikawal boleh menjejaskan pendapatan pekebun kecil getah.

“Saya bagi pihak pekebun kecil sebenarnya bangga dan amat berterima kasih kerana Risda memberi bantuan kepada kami untuk kawalan penyakit itu,” katanya.

Penerima sumbangan zakat Risda, Rohimi Musa, 50, dari Kampung Selindar, Padang Tengku turut bersyukur dengan bantuan berkenaan.

“Saya mengucapkan terima kasih atas bantuan ini kerana ia meringankan beban saya yang kini dikategorikan orang kelainan upaya (OKU) kerana kedua-dua kaki terpaksa dipotong kerana penyakit,” katanya.

Sumber: My Metro