Bantuan Perumahan Pahang Akan Berterusan – YAB Menteri Besar Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Rakyat di negeri ini wajar bersyukur kerana sentiasa berpeluang memiliki rumah melalui beberapa inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan usaha ini dijamin akan dilaksanakan secara berterusan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, maklum balas diterima mendapati keperluan rumah di kalangan rakyat di negeri ini adalah sangat tinggi berbanding penyediaannya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda ketika dalam segmen Bicara Tok Wan bersama Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

“Kita kena atasi masalah ini, kalau tidak maknanya kita tak beri peluang atau cari jalan penyelesaian terhadap masalah rumah ini. Bantuan perumahan percuma (Rumah Rakyat Pahang) ini tidak akan mati setakat itu sahaja, kalau kewangan mengizinkan kita akan tambah kerana ramai lagi yang perlukan rumah ini.

“Kita bermula dengan Rumah PR1MA Pahang dengan harga RM150,000, namun ada rakyat yang tidak mampu sebelum muncul dengan inisiatif Projek Rumah Makmur yang berharga RM80,000 sebagai penambahbaikan kepada program PR1MA Pahang, tapi kita dapati masih ramai lagi yang tak mampu memiliki rumah Rumah Makmur sehingga tercetusnya idea projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang diberikan secara percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika temubual secara langsung dalam segmen Bicara Tok Wan bersama Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Program berkenaan dihoskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda yang turut memberi penjelasan berkenaan projek-projek perumahan di negeri ini.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri bersedia memberi peruntukan tambahan kerana kewangan semasa negeri mampu merealisasikannya.

“Maklum balas yang kita terima sangat baik dan dalam masa sama, pujian perlu ditujukan kepada kontraktor terlibat yang maklum berkenaan penerima rumah yang tidak mampu tapi saya pesan buatlah dengan baik asal pulang kos sahaja.

“Kerajaan Negeri dari segi kluster perumahan terus fikir habislah (habis-habisan) untuk membantu..mereka yang belum dapat jangan putus asa kerana projek (rumah) kita berterusan, kalau tak dapat hari ini InsyaAllah kita akan dapat kemudian. Perlu bersabar walau sabar itu pahit, namun buahnya (akhirnya) akan manis,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA