Bawa anak 3 tahun elak ditahan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jerantut: Seorang lelaki sanggup membawa anak perempuan berusia tiga tahun ketika melakukan aktiviti pengedaran dadah di sekitar bandar ini bagi mengaburi pihak berkuasa.

Bagaimanapun taktik itu tidak berjaya apabila lelaki berusia 45 tahun itu ditangkap di kawasan taman permainan Taman Koperasi , di sini, pada 10 pagi, hari ini.

Ketua Polis Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, ketika ditahan polis menemui dadah jenis heroin seberat 2.32 gram dan syabu seberat 1.16 gram dianggarkan bernilai RM500.

“Ketika soal siasat, suspek mengakui dadah berkenan adalah miliknya dan akan diedar kepada penagih lain,” katanya di sini hari ini.

Mazlan berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Suspek yang bekerja di sebuah kilang papan di sini memulakan aktiviti pengedaran dadah secara aktif di sekitar Jerantut sejak 3 bulan lalu,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: My Metro