Bekalan ikan cukup di Kuala Lumpur

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur: Warga kota tidak perlu panik berlaku kekurangan bekalan ikan berikutan bahagian ikan di Pasar Borong Kuala Lumpur ditutup selepas merekodkan kes positif Covid-19.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Kumpur, Ariffin Samsudin berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati bekalan barangan keperluan termasuk ikan mencukupi.

“Arahan menutup Pasar Borong Kuala Lumpur itu bukan daripada KPDNHEP sebaliknya dibuat atas inisiatif persatuan peniaga di kawasan berkenaan sendiri selepas disyaki ada kes positif direkodkan dalam kalangan mereka.

“Pengguna di Kuala Lumpur yang memerlukan bekalan ikan boleh ke pasar raya lain kerana dari segi harga masih di tahap mampu beli.

“Mengenai bekalan ikan pula walaupun Pasar Borong tutup tapi tiada masalah bekalan dan mencukupi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam sidang media selepas mengetuai pemeriksaan barangan keperluan pengguna di Pasaraya Aeon Metro Prima, Kepong, di sini.

Turut hadir Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur Zubir Hamsa.

Sebelum itu, KPDNHEP Kuala Lumpur turut menjalankan pemeriksaan di pasaraya NSK Kepong.

Ariffin berkata, sehingga hari ini sebanyak 87 premis perniagaan diperiksa penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur dan kesemua premis perniagaan didapati mempunyai bekalan barangan keperluan, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Beliau berkata, pihaknya memantau secara harian barangan keperluan bagi memastikan barangan mencukupi dan mudah diperolehi di pasaran sekali gus mampu menampung keperluan pengguna secara berterusan.

“Antara barangan yang dipantau termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, cecair sanitasi tangan dan pelitup muka,” katanya.

Selain itu, katanya, sejak PKP dilaksanakan pihaknya menerima 67 aduan membabitkan harga dan bekalan sebanyak 17 aduan, perkhidmatan atas talian (22), perkhidmatan mengelirukan (11), lain-lain (17).

Ditanya mengenai harga minyak masak tinggi ketika PKP, beliau berkata, pemantauan mendapati masih ada minyak masak yang dijual pada harga rendah seperti minyak masak paket.

“Kita faham harga kelapa sawit di pasaran yang meningkat ketika ini mempengaruhi harga minyak masak di pasaran.

Namun kerajaan sedang berusaha memastikan harga optimum.

“Pengguna mempunyai pilihan dan perlu bijak memilih minyak masak atau barangan lain yang dijual pada harga lebih rendah. KPDNHEP tiada halangan untuk orang ramai membeli minyak masak dalam paket,” katanya.

Sumber: My Metro