Bentong bakal jadi bandar raya kedua di Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Maran: Bentong bakal menjadi bandar raya kedua di Pahang selepas Kuantan, dengan jangkaan proses menaik taraf Majlis Perbandaran Bentong dapat diselesaikan tahun ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, proses menaik taraf itu kini di peringkat pentadbiran yang memerlukan kerajaan negeri membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan dan lazimnya akan mengambil masa beberapa bulan untuk diluluskan oleh Kabinet.

“Bentong sudah memenuhi kriteria untuk diangkat sebagai bandar raya dari segi pendapatan, namun belum mencapai kriteria jumlah penduduk yang perlu melebihi 500,000 orang. Kita akan lihat jika boleh memberikan kelonggaran dengan mengambil kira aspek pembangunan (di situ),” katanya.

Zuraida berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di daerah ini hari ini, yang disertai Timbalannya Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib yang juga Ahli Parlimen Maran dan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Dalam perkembangan berkaitan, Zuraida memaklumkan Majlis Daerah Pekan kini dalam perancangan dinaik taraf kepada majlis perbandaran juga dalam tahun ini, manakala Majlis Daerah Maran (MDM) disasarkan ‘mendapat kenaikan’ itu pada 2022.

Bagi membantu MDM mencapai sasaran terbabit, Zuraida berkata, kementeriannya hari ini meluluskan peruntukan RM7 juta, dengan RM5 juta adalah bagi kerja pembangunan termasuk membaiki dan baik pulih kerosakan akibat banjir memandangkan daerah itu antara lokasi terjejas teruk ketika banjir pada awal tahun ini.

“Masing-masing RM1 juta lagi adalah bagi membantu pengurusan sisa pepejal dan meningkatkan kemudahan serta infrastruktur di lokasi pelancongan termasuk membangunkan pusat perniagaan memandangkan Maran akan mempunyai stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak lama lagi,” katanya.

Selain itu, Zuraida berkata, garis panduan naik taraf pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan pelancongan sedang diperkemaskan kerana beberapa kriteria seperti jumlah penduduk sukar dipenuhi dan memerlukan panduan berbeza.

Mengulas perkembangan berasingan, beliau berkata, kementerian juga telah meluluskan pembinaan balai bomba di Chenor di sini, dan Gambang, Kuantan dengan peruntukan RM4 juta sebuah selain menerima permohonan kerajaan negeri supaya kemudahan itu disediakan di Benta, Lipis kira-kira 185 kilometer dari sini.

“Kelulusan di Chenor dan Gambang dibuat selepas mengambil kira jarak balai bomba terdekat ialah melebihi 30 kilometer dan kepadatan penduduk memerlukan kemudahan itu diberikan bagi keselamatan mereka,” katanya.

Sumber: My Metro