SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Bina parit elak Hutan Simpan Kekal Batu Talam diceroboh semula

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Raub: Tujuh parit dibina bagi menghalang kejadian menceroboh Hutan Simpan Kekal Batu Talam, di sini tidak berulang pada masa akan datang.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub, Shahril Mohamad berkata, dua parit dibina bagi memutuskan laluan utama masuk ke kawasan terbabit dan lima lagi di beberapa tempat dalam kawasan bekas kebun durian Musang King yang ditanam secara haram dalam hutan simpan kekal berkenaan.

Menurutnya, kerja membina parit sepanjang 0.9 meter dan 1.52 meter dalam itu menggunakan jengkaut mengambil masa selama dua hari selepas kerja menanam pokok hutan selesai sepenuhnya Sabtu lalu.

Katanya, pembinaan parit terbabit seolah upacara penutup Operasi Pamah yang bermula 3 Julai lalu membabitkan kawasan seluas 101 hektar yang dijadikan kebun durian Musang King secara haram.

“Kita berharap dengan adanya tujuh parit besar itu Hutan Simpan Batu Talam tidak lagi diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan diri sendiri menerusi projek pertanian yang diusahakan.

“Hutan Simpan Kekal Batu Talam adalah kawasan tadahan air yang menjadi sumber bekalan air pada penduduk daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, episod hitam pencerobohan Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang dijadikan kebun durian Musang King secara haram oleh penduduk setempat sebelum ini diharap tidak berulang lagi selepas ini.

Shahril berkata, pihaknya akan terus memantau kawasan terbabit selepas ini dengan menggunakan dron bagi memastikan tidak ada lagi pihak bertindak menceroboh hutan simpan berkenaan untuk apa juga tujuan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Wan Ghazali Wan Ali berkata, pihaknya menanam sebanyak 19,293 pelbagai spesies pokok hutan antaranya Merawan, Meranti, Balau dan Keruing.

“Kita juga menanam sebanyak 610 spesies pokok nadir membabitkan 200 pokok sentul dan 410 pokok tampoi berusia enam bulan hingga setahun, yang ditanam secara berselerak.

“Aktiviti menanam dilakukan kakitangan JPNP membabitkan semua daerah dan ia lancar dengan pengawasan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Operasi Pamah membabitkan kerja memusnahkan kira-kira 15,000 pokok durian Musang King yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang membabitkan kawasan seluas kira-kira 101 hektar bertujuan mengekalkan kawasan tadahan air di daerah ini.

Sumber: My Metro