Boleh semak keputusan SPM secara online, 10 pagi ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

Kuala Lumpur: Seramai 401,105 calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 boleh menyemak keputusan rasmi secara dalam talian mulai 10 pagi, hari ini.

Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, selain itu calon juga boleh mendapatkan slip peperiksaan dan sijil SPM menerusi dalam talian.

Menurutnya, ia antara pembaharuan yang dibuat pihaknya bagi memudahkan calon menyemak keputusan SPM dan mendapatkan slip peperiksaan SPM tanpa perlu ke sekolah seperti sebelum ini.

“Pagi ini anak-anak kita akan mendapat akses keputusan SPM secara dalam talian dan sekiranya mereka tidak mendapat akses pihak sekolah akan membantu mereka.

“Begitu juga selepas ini pengeluaran slip akan dilaksanakan secara dalam talian,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial, hari ini.

Radzi berkata, slip keputusan SPM boleh didapati di pautan myresult1.moe.gov.my dan myresult2.moe.gov.my selain melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Katanya, slip keputusan rasmi pula boleh dimuat turun melalui myresult3.moe.gov.my pada 14 Jun ini, manakala sijil SPM akan diedarkan secara berperingkat mulai 10 Julai depan.

“Antara pembaharuan lain adalah percetakan dan pengedaran sijil SPM. Umumnya percetakan dan pengedaran dibuat dalam tempoh enam bulan namun tahun ini ia dibuat dalam tempoh sebulan lebih.

“Ini adalah perubahan dan kejayaan yang dilaksanakan dalam tempoh singkat bagi memastikan walaupun menghadapi cabaran besar ketika pandemik Covid-19 tapi kita mengambil ruang ini untuk menambah baik sistem bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti,” katanya.

Sumber: My Metro