SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Buat ujian kendiri demi keselamatan bersama – MB Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: “Sebagai insan yang bertanggungjawab, adalah disarankan (anda) membuat ujian kendiri (Covid-19) demi keselamatan bersama,” kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Beliau mengulangi saranannya kepada perantau yang mahu pulang ke Kelantan atau pelancong supaya melakukan ujian saringan Covid-19 menggunakan kit ujian kendiri sebelum memasuki negeri itu.

Katanya, meskipun ujian saringan tidak menjadi syarat untuk merentas negeri, rakyat perlu ada rasa tanggungjawab untuk melakukan ujian itu sebagai jaminan, mengelak penularan Covid-19.

“Mengikut statistik Kementerian Kesihatan (KKM), 74 peratus populasi dewasa di Kelantan sudah menerima dua dos vaksin dan dijangka mencapai sasaran 80 peratus menjelang pertengahan Oktober.

“Dalam tempoh endemik (kelak), tiada cara lain boleh dilakukan selain menjaga diri sendiri agar tidak menjadi mangsa atau penyebar virus bukan sahaja kepada ahli keluarga malah kenalan terdekat,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, remaja di bawah 17 tahun yang belum divaksin tidak dibenarkan makan di restoran dan kedai makan kecuali jika bersama keluarga yang lengkap vaksinasi.

“Mereka tidak boleh makan di kedai sendirian kerana risiko kebolehjangkitan Covid-19. Selain itu, pengusaha premis makanan dan perniagaan diingatkan supaya memastikan pekerja mereka lengkap menerima dua dos vaksin sebelum berkhidmat,” katanya.

Sumber: My Metro