Budak Hilang Selepas Terjatuh Dalam Longkang Ketika Mahu Ambil Selipar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA TINGGI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang ketika mahu mengambil selipar di Taman Kota Jaya di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika hujan lebat pada jam 3 petang.

“Ketika kejadian, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu dikatakan hendak mengambil selipar terjatuh ke dalam longkang itu yang dipercayai ketika itu air deras serta dalam.

“Pencarian kanak-kanak itu masih dijalankan oleh pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Shawaluddin Amin Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 3.28 petang.

“Seramai sembilan anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Fire Response Vehicle (FRV) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa masih lagi dilakukan sehingga kini,” katanya.

– SINAR HARIAN