Budak Kerbau Terengganu, Syukur Khamis Terima Kunjungan Jurugambar dari Taiwan

Facebook
Twitter
Google+

Menjadi kebanggaan dan perhatian, bukan sahaja rakyat Malaysia, malah dunia apabila gambar seorang remaja dari Terengganu, Muhammad Syukur Khamis berjinak-jinak dengan sekawan kerbau tular di media sosial, beberapa bulan lalu.

Terbaru, menurut portal berita Sinar Harian melaporkan Syukur menerima kunjungan oleh 11 orang jurugambar dari Taiwan dan seorang dari Johor Bahru di Kampung Banggol Katong, Manir. 

Foto Dallah Deen Photography

Abang Muhammad Syukur, Muhammad Alias, 29, berkata, kesemua jurugambar terdiri daripada empat wanita dan lapan lelaki itu ingin bermalam serta menikmati suasana kehidupan di kampung sambil merakam kehidupan remaja itu bersama kerbau peliharaan.

Menurutnya, kumpulan itu tiba di kediamannya jam 4 petang, Khamis lalu dan bertolak pulang jam 12 tengah hari, (Jumaat).

“Tak sangka pula ramai yang datang. Mujurlah kita masih dalam ‘mood’ Hari Raya Aidilfitri dan ada buat persiapan kuih muih untuk menjamu mereka,” katanya.

Muhammad Alias berkata, pada mulanya mereka khuatir kumpulan jurugambar itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan makanan tempatan Terengganu.

“Mula-mula kita bimbang mereka tak dapat menerima makanan tempatan macam ketupat, rendang, nasi dagang. Tetapi, sangkaan kami meleset sebab kebanyakan mereka boleh makan makanan itu walaupun agak pedas,” katanya.

Menurutnya, kumpulan jurugambar itu menuju ke kandang kerbau yang terletak di Kampung Kubang Bujuk, Manir, di sini, seawal jam 6.30 pagi untuk merakam aksi Muhammad Syukur bersama kerbau dengan dibantu oleh jurugambar yang juga berperanan sebagai jurubahasa itu.

Alias berkata, walaupun jadual Syukur agak padat, pihaknya menerima kunjungan dari mana-mana jurugambar yang ingin merakam gambar Syukur, namun, perlu membuat temu janji terlebih dahulu.

“Kita bimbang juga kalau ada yang datang dari jauh, Syukur pula tak ada di rumah. Jadi, untuk mengelak pertindihan jadual, kita sarankan buat temu janji terlebih dahulu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Foto Sinar Harian

 

MENARIK

Ikuti kami :

Hak Cipta Terpelihara © 2018 Husa Network Sdn Bhd

Husa Network Sdn Bhd (464366),
No 18, Tingkat 1 & 2, Pusat Komersial Chabang Tiga,
21000 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.​

Tel : 09 – 6262255(Pejabat) | Fax : 09-6262266
Email : admin@manis.fm
Tel Konti : 09-6241008