Cacar Monyet: Ada Tanda Reda Wabak di UK – UKHSA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) menyatakan terdapat ‘tanda-tanda awal’ wabak cacar monyet yang melanda seluruh negara kini sedang memperlahan.

Pengarah Jangkitan Klinikal UKHSA, Dr Meera Chand berkata, walaupun data menunjukkan penurunan kes baharu, orang ramai digesa tidak leka.

Terdapat 2,859 kes cacar monyet yang telah disahkan serta kemungkinan kes di UK setakat 4 Ogos dengan hampir 99 peratus adalah dalam kalangan lelaki.

Analisis UKHSA menunjukkan, cacar monyet terus tersebar terutamanya dalam kumpulan komuniti seksual gay, biseksual atau lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis.

Pihak berkuasa British telah mengesyorkan komuniti tersebut ditawarkan vaksin memandangkan berlaku peningkatan kes itu terutamanya di Eropah.

Awal bulan ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan cacar monyet sebagai “kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa” iaitu tahap amaran tertinggi.

Susulan langkah WHO, Amerika Syarikat juga mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam.

Sumber : AWANI