Calon SPM Berenang Redah Banjir Kini Ditempatkan Di Asrama

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang mengesahkan bahawa seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tular kerana meredah banjir untuk ke sekolah berada dalam keadaan selamat dan telah ditempatkan di asrama.

Menurut JPN Pahang, siasatan awal mendapati laluan keluar dari rumah pelajar berkenaan dinaiki air secara mendadak, menyebabkan dia terpaksa meredah banjir sebelum sempat dibawa ke asrama pada Sabtu.

“Pelajar terbabit kini ditempatkan di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Lanar dan dilaporkan bersedia menduduki peperiksaan bersama calon lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam kenyataan tersebut, JPN Pahang menjelaskan bahawa pihaknya, bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah menengah berasrama sekitar Lipis telah melaksanakan pelan kontingensi dengan mengenal pasti calon yang tinggal di kawasan berisiko banjir.

Jelas kenyataan itu lagi, sebagai langkah awal, kemudahan asrama turut disediakan kepada murid yang tidak tinggal di asrama tetapi berdepan risiko terkandas akibat keadaan cuaca.

“Keutamaan kami adalah memastikan semua calon SPM dapat hadir ke pusat peperiksaan dengan selamat dan tidak berdepan sebarang kesulitan.

“PPD dan pihak sekolah turut dimaklumkan supaya terus memantau keadaan murid terlibat serta memastikan keperluan mereka mencukupi sepanjang musim tengkujuh,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, JPN Pahang merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, PPD, pasukan keselamatan dan semua pihak yang membantu memastikan perjalanan peperiksaan SPM berlangsung lancar demi kepentingan calon.

Pada Isnin, tular satu rakaman video berdurasi 53 saat yang memaparkan seorang remaja lelaki, dipercayai pelajar sekolah sedang berenang dalam kawasan dinaiki air sehingga mencecah paras bahu.

Kelihatan seorang lagi lelaki, dipercayai bapa pelajar terbabit turut berenang merentasi banjir sambil menolak satu tong hitam besar berisi beg sekolah milik remaja berkenaan.

Sumber: Sinar Harian