SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Calon SPM bersemangat duduki peperiksaan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Calon SPM dari SMK Putera beratur untuk memasuki dewan peperiksaan di Kompleks Sekolah-Sekolah Wakaf Mek Zainab. Kota Bharu pada Isnin.

Meskipun terdapat pelbagai cabaran bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika negara sedang menghadapi penularan Covid-19 namun itu tidak mematahkan semangat calon.

Begitu juga bagi calon SPM di Kelantan, Mohd Faris Haikal Mohd Shukri, 18, yang tetap bersemangat untuk menduduki peperiksaan meskipun sudah dua kali ditangguhkan.

“Walaupun banyak cabaran termasuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), insya-ALLAH, semoga dipermudahkan untuk menjawab soalan dalam dewan,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera di sini.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Kompleks Sekolah-Sekolah Wakaf Mek Zainab di sini mendapati calon SPM tiba seawal jam 7 pagi.

Selain dihantar oleh ibu bapa, ada juga yang datang ke sekolah dengan menaiki kenderaan sendiri.

Guru-guru memastikan kesemua calon dari SMK Putera, Kota Bharu dalam keadaan baik sebelum memasuki dewan peperiksaan pada Isnin.

Suasana menduduki peperiksaan dalam norma baharu juga mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terutama penjarakan fizikal yang dipantau oleh guru-guru bertugas.

Sementara itu, Nik Muhammad Zaireil Nik Mahmud dari SMK Badang berkata, ulang kaji sepanjang pandemik Covid-19 sangat menguji kemampuannya, namun ia digunakan sebaik mungkin supaya lulus dalam peperiksaan itu.

“Walaupun telefon sering rosak, saya memanfaatkan peluang apabila peperiksaan ditangguhkan dua kali ini untuk mengulang kaji bersama kawan-kawan secara bersemuka.

“Saya dan kawan-kawan bersemangat untuk datang ke dewan peperiksaan hari ini. Kami harap dapat menjawab dengan tenang dan menamatkan peperiksaan sebaik mungkin,” katanya.


Di Kelantan, seramai 27,719 calon menduduki SPM tahun 2020 bermula Isnin hingga 25 Mac depan.

Jumlah itu membabitkan sebanyak 243 sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Yayasan Islam Kelantan, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan swasta yang berlangsung di 285 pusat peperiksaan.

SUMBER : Sinar Harian