Candat Sotong Terengganu diteruskan, patuh SOP ketat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Nerus: Aktiviti candat sotong yang popular di Terengganu akan diteruskan pada tahun ini, namun penganjurannya perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman berkata, beberapa gimik promosi akan diadakan untuk menarik kedatangan pelancong, terutama peminat aktiviti tersebut selepas Aidilfitri tidak lama lagi.

“Fokus utama kita sekarang ialah memilih kaedah sesuai supaya kebenaran diberi kepada mereka yang mahu merentas negeri ke Terengganu. Mungkin kebenaran boleh diberi untuk mereka yang sudah lengkap mendapatkan dos vaksin, atau telah jalani ujian calitan dan disahkan sihat sebelum datang ke Terengganu.

“Ini akan dibincangkan secara terperinci bersama Majlis Keselamatan Negeri (MKN) … apa SOP yang sesuai untuk memastikan pelancong luar boleh masuk ke Terengganu bagi menyertai aktiviti candat sotong,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke majlis moreh bersama media di sini malam tadi.

Kemeriahan aktiviti candat sotong di Terengganu akan bermula dari April hingga Julai setiap tahun, yang menyaksikan ratusan bot candat akan berada di perairan sekitar pulau-pulau peranginan di negeri itu.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata dari segi pematuhan SOP untuk pengusaha bot pula, mereka bersedia mengurangkan jumlah peserta 50 peratus berbanding kapasiti yang ada.

“Mereka juga menyatakan kesediaan untuk mematuhi semua peraturan dan norma baharu yang perlu dititikberatkan, untuk memastikan aktiviti candat dapat berjalan lancar kerana ia juga adalah ‘lubuk rezeki’ untuk pengusaha bot,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ariffin berkata pertandingan pelita raya yang menjadi tradisi tahunan di Terengganu juga akan diteruskan, kali ini membabitkan pertandingan antara daerah di Kampung Budaya Terengganu.

“Pengumuman mengenai pertandingan itu akan dimaklumkan tidak lama lagi. Mereka yang berminat boleh membuat persediaan dari sekarang dengan binaan kreatif dan menarik,” katanya.

Sumber: My Metro