Cemas pasar malam dilanda ribut

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Lipis: Peniaga dan pengunjung pasar malam di dataran Orang Kaya Haji, di sini, petang semalam, panik selepas angin kencang membadai kawasan itu.

Kejadian kira-kira 7 malam itu menyebabkan khemah peniaga diterbangkan angin kencang.

Peniaga, Shahrinie Othman, 27, berkata, ketika itu tiada hujan, cuma cuaca agak gelap.

“Tiba-tiba saya nampak angin berpusing-pusing sebelum mengangkat dan menerbangkan sebahagian besar khemah dan barang perniagaan kira-kira 70 peniaga.

“Keadaan berlaku kira-kira 45 minit menyebabkan 15 khemah yang musnah teruk dan diterbangkan sejauh lima meter,” katanya.

Dia yang berniaga kambing bakar berkata, dia memegang khemah dengan dibantu pengunjung.

“Nasib baik ada pengunjung yang membantu memegang khemah. Kalau tidak, tentu khemah saya diterbangkan angin,” katanya.

Menurutnya, selepas ribut reda, hujan lebat pula menyebabkan pengujung menjadi kelam kabut mencari tempat pelindung.

Bagi Othman Ashaari, 60, yang berniaga yong tau foo berkata, dia melihat angin berputar seakan-akan puting beliung dan menerbangkan khemah peniaga.

Menurutnya, dia cedera ringan apabila dua pokok berhampiran tapak pasar malam tumbang ke arah khemahnya.

Selain itu bumbung rumah berhampiran turut diterbangkan angin, berlaku kerosakan pada tiang dan pencawang elektrik.

Sumber: My Metro