SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Ceroboh Hutan Simpan Papai lombong bijih besi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengesan kegiatan melombong bijih besi secara haram dalam Kompatmen Lapan Hutan Simpan Papai pada Ahad.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat Kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, aktiviti itu dikesan hasil pemeriksaan dilakukan pasukan penguat kuasa yang diketuai Pengawas Hutan, Ahmad Yunus Mohd Jama.

Menurutnya, kegiatan itu masih baharu dan dipercayai dilakukan oleh individu yang mempunyai rangkaian dengan pihak lain berdasarkan kemahiran dalam menentukan kedudukan bahan galian terbabit.

“Kita percaya kegiatan ini dilakukan sejak beberapa hari lalu kerana jengkaut yang digunakan untuk kegiatan itu telah rosak dan dalam proses membaiki pulih jentera terbabit.

“Selain itu, kita turut menemui beberapa lubang dalam kawasan seluas 0.8 hektar dan beberapa longgok dipercayai bijih besi dan jengkaut yang digunakan untuk melakukan aktiviti itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, jengkaut itu telah disita dan kini ditempatkan di pusat simpanan barangan rampasan JPNP Pejabat Ladang Hutan Kemasuk, Mentakab sebelum sebarang tindakan dibuat selepas ini.

Nor Azirim menambah, pihaknya kini dalam usaha mengesan individu yang terbabit dengan kegiatan melombong secara haram dalam Hutan Simpan Papai.

“Mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984, jika pihak kita berjaya menahan kesemua mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan mempergiatkan lagi rondaan di beberapa hutan simpan di negeri ini bagi mengekang aktiviti membawa keluar hasil hutan secara haram.

“Kita berharap kerjasama daripada masyarakat dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui terdapat kegiatan menceroboh hutan simpan secara haram di negeri ini,” katanya.

Sumber: Astro Awani