Cetus Kemarahan Rakyat: Lima Ahli DPR Digantung Tugas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JAKARTA – Lima ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia digantung tugas selepas kenyataan kontroversi mereka mengenai elaun dan keistimewaan wakil rakyat mencetuskan kemarahan umum dan memicu siri protes besar-besaran di seluruh negara.

Tindakan disiplin diumumkan apabila perusuh merosakkan dan menjarah kediaman empat ahli DPR di kawasan Jakarta Raya, menjulang kemarahan rakyat terhadap gaya hidup mewah wakil rakyat di saat ramai bergelut dengan kos hidup.

Parti NasDem menggantung Bendahari Agungnya, Ahmad Sahroni, dan ahli DPR merangkap bekas artis, Nafa Urbach.

“Dalam melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat, mereka mengeluarkan kenyataan yang melukai hati masyarakat dan bertentangan dengan prinsip parti,” kata Pengerusi NasDem, Surya Paloh, pada Ahad.

Ahmad Sahroni menimbulkan kemarahan apabila menyifatkan tuntutan membubarkan DPR sebagai tindakan “paling tolol di dunia”. Kediamannya di Tanjung Priok, Jakarta Utara, turut menjadi mangsa penjarahan pada Sabtu.

Nafa mempertahankan elaun perumahan sebanyak 50 juta rupiah (kira-kira RM12,80), dengan alasan kebanyakan wakil rakyat berasal dari luar Jakarta dan perlu menanggung kos sara hidup tinggi. Kenyataannya menjadi titik nyalaan kepada demonstrasi mahasiswa sejak 25 Ogos. Rumahnya di Bintaro, Tangerang Selatan, turut dijarah.

Parti Amanat Nasional (PAN) menggantung ahli DPR, Eko Hendro Purnomo (Eko Patrio), dan Surya Utama (Uya Kuya).

“Tindakan ini selari dengan dinamika politik semasa dan sebahagian daripada usaha parti untuk menjaga maruah, disiplin dan integriti wakil rakyat,” jelas Timbalan Pengerusi PAN, Viva Yoga Mauladi.

Eko dan Uya sebelum ini dikecam hebat selepas tularnya video mereka menari di dalam dewan DPR ketika Sidang Tahunan Presiden pada pertengahan Ogos. Dua-dua kediaman mereka turut dijarah, rumah mewah Eko di Mega Kuningan hanya beberapa jam selepas permohonan maaf beliau, manakala rumah Uya pula dirampas hingga perabot, barangan elektronik, dan haiwan peliharaan diambil.

Parti Golkar pula menggantung Adies Kadir, Timbalan Speaker DPR, berikutan kenyataannya mengenai elaun wakil rakyat.

Beliau terdahulu menyatakan bahawa ahli DPR berhak menerima 12 juta rupiah RM3,075.53) (elaun makanan) dan 7 juta rupiah RM1,794.06 (elaun minyak)—keterangan yang kemudian ditarik balik. Namun, beliau tetap mempertahankan elaun perumahan 50 juta rupiah. Walaupun rumahnya tidak diserang, kenyataannya memperbesar kemarahan rakyat.

Ramai rakyat Indonesia melihat isu elaun perumahan ini sebagai pantulan jurang ketidaksamarataan. Elaun 50 juta juta bersamaan kira-kira RM12,800 hampir sepuluh kali ganda gaji asas bulanan purata pekerja di Jakarta, memperkukuh persepsi elit politik semakin jauh dari rakyat. – Agensi